MAGERAN 1977 : PERGOLAKAN KELANTAN ERA MODEN


Oleh: rajaibrahimpetra96

“BABAK ‘Kerjasama Kongsi Kuasa’ menurut istilah Datuk Mohd Asri ini, adalah suatu perubahan dalam taktik perjuangan PAS di bawah kepimpinan beliau. Pergolakan-pergolakan dengan wujudnya ‘team’ atau puak mulai membesar sekitar pertengahan tahun 70an. 

Golongan pertama ialah penyokong Datuk Mohd Asri sendiri dan golongan kedua ialah pengikut setia atau pro Datuk Muhammad Nasir yang menjadi Menteri Besar (MB) Kelantan waktu itu. Kumpulan Datuk Muhammad Nasir telah mengadakan demonstrasi protes pada 24 September 1977 di Padang Merdeka, Kota Bharu, Kelantan. 

Mereka membantah kumpulan pro Asri yang dikenal dengan ‘Kumpulan 16′ dan akhirnya ‘Kumpulan 20′. Dikatakan lebih 80,000 rakyat Kelantan di seluruh pelusuk tanah air menyertainya.

Lambang Parti Berjasa (Barisan Jamaah Islamiah Se Malaysia) pecahan dari PAS pinpinan MB Kelantan waktu itu, Datuk Muhammad Nasir. 

Datuk Muhammad Nasir pula digulingkan dari jawatan MB melalui usul undi tidak percaya. Usul tersebut dibuat oleh 20 orang ADUN Kelantan dari PAS yang diketuai oleh Datuk Haji Ishak Lutfi Omar. Ekoran dari peristiwa tersebut, pada 19 Oktober 1977 satu lagi demontrasi telah diceturkan. Kira-kira 20,000 rakyat Kelantan berarak dari Padang Merdeka ke Pejabat Setiausaha Negeri. Perintah berkurung pun diisytiharkan oleh pihak keselamatan pada jam 3.15 petang dan berterusan selam 24 jam berikutnya. 

Pihak Kerajaan Pusat tidak mahu berkerja sama dan membelakangkan pendapat majoriti ADUN Kelantan kerana segala rundingan yang dibuat dengan MB tidak mendapat sokongan majoriti ADUN. Bermulalah ‘Politik Darurat’ untuk merampas Kelantan. Formula mewujudkan Akta Darurat dan kerajaan MAGERAN di Kelantan tanpa rundingan dan rujukan apa-apa dengan PAS 

sebagai rakan ‘kongsi kuasa’nya. PAS hanya diberitahu untuk dipersetujui sahaja. Pemimpin PAS dalam kabinet Kerajaan Pusat pula terpaksa letak jawatan masing-masing kecuali Haji Hasan Adli yang membantahnya. 

Mereka terpaksa berbuat demikian kerana dikatakan telah melanggar disiplin BN ekoran dari bantahan Datuk Asri terhadap Akta Darurat. Akta tersebut dibentangkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Hussein Onn di Dewan Rakyat Kuala Lumpur pada 19 Oktober 1977, yang pada masa itu masih lagi dalam bentuk rang undang-undang Kuasa Darurat Kelantan. Sistem pemerintahan demokrasi digantung dan ditadbir secara’de facto’ oleh Kerajaan Pusat apabila MAGERAN diisytiharkan pada 8 November 1977. 

Pada 13 Disember 1977 PAS disingkir dari BN kerana enggan mematuhi whip BN mengenai undang-undang Darurat. Pada 12 Januari 1978, pemerintahan MAGERAN ditarik balik oleh Kerajaan Pusat dan pada 11 Mac 1978 Kerajaan Pusat terus mengisytiharakan PRU peringkat negeri sahaja. PAS dikalahkan dengan teruknya oleh BN. Dari 43 kerusi DUN seluruh negara tahun 1974 jatuh tinggal 11 sahaja pada tahun tersebut. Kerusi PRU parlimen perolehan PAS lepas itu juga berkurang dari 14 tahun 1974 kepada 5 sahaja pada tahun 1978. 

Oleh itu dikatakan kemasukan PAS dalam BN merupakan faktor kekalahan PAS dalam PRU 1978, menggambarkan kejatuhan kekuasaan dan pengaruh PAS di Malaysia. Ada yang berpendapat kejatuhan PAS adalah kerana pimpinan dan tenaga kerja PAS lebih banyak tertumpu kapada sumbangan dalam jentera kerajaan dari tumpuan untuk menggerakkan parti sendiri. Hal ini menyebabkan ahli-ahli PAS terabai dan kurang mendapat pengisian sewajarnya dari segi kerohanian dan kesedaran politik. Sehingga tiada beza antara ahli dan bukan ahli hingga boleh mengelirukan dalam menjadikan mereka sebagai regu perjuangan parti tersebut. 

Bekas Setiausaha Agung PAS 1978 yang telah melompat kepada UMNO, Ustaz Nakhaie Ahmad mengatakan, kekalahan PAS adalah kerana kurang perhatian pemimpin PAS dalam menggunakan ruang dan peluang semasa berada dalam BN. Beliau mensifatkan penyertaan PAS tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk membantu parti, bahkan masing-masing berebut jawatan dan kepentingan. Penyingkiran PAS dari BN juga mempunyai saham dalam menjatuhkan PAS. 

Peristiwa yang memaksa beberapa tokoh PAS tidak aktif lagi kerana larangan ahli-ahli akademik terlibat dalam politik. Mereka adalah seperti Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok, Dr Harun Din, Uthman Khalid dan lain-lain. Oleh itu kekosongan yang wujud dalam post-post tertentu sedikit sebanyak mengganggu pentadbiran dan perjalanan parti. Lebih-lebih lagi apabila imej Yang Di Pertua Agung PAS Datuk Mohd Asri telah dianggap kurang baik dan gerhana hasil dari penentangan beliau terhadap perlantikan Datuk Haji Muhammad Nasir. 

Walaupun sebenarnya perlantikan Datuk Haji Muhammad Nasir sebagai MB Kelantan tersebut disokong oleh BN, namun MB itu tetap dianggap jujur dan ikhlas terhadap rakyat. Apabila Datuk Asri menentang Akta Darurat dan terpaksa meletak jawatan, tiba-tiba Hasan Adli enggan letak jawatan, sedangkan beliau juga adalah tokoh berpengaruh yang menjadi Menteri Kerajaan Pusat sesudah Datuk Asri. Keadaan ini juga mendorongkan perbedaan pendapat yang membawa kepada sikap berpuak-puak di kalangan ahli. 

Ada juga yang berpendapat bahawa ‘perebutan jawatan & rezeki’ adalah punca perpecahan dan yang menyebabkan kejatuhan PAS. Datuk Asri merasa berautoriti mencadangkan Wan Ismail Wan Ibrahim sebagai MB Kelantan. Beliau enggan menerima Datuk Muhammad Nasir tajaan BN yang menyebabkan mereka tidak sehaluan dan berlaku perpecahan dalam PAS. Datuk Muhammad Nasir keluar menubuhkan Parti Berjasa. ‘Kelicikan politik BN’ ini menyebabkan Berjasa bertanding atas tiket BN menentang PAS dalam pilihan raya. 

Seorang ahli akademik mengatakan, masalah percubaan ini bukan sahaja bermula kerana kemasukan PAS dalam komponen BN, bahkan kerana perpecahan dalaman PAS itu sendiri yang lebih tertumpu kepada perbedaan fikrah. Kemasukan ahli-ahli ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), atau ahli-ahli IRC (Islamic Representative Council) yang berpusat di luar negara telah cuba menerapkan pemikiran mereka terus menambah lagi perbedaan fikrah tersebut. Suasana demikian berlaku sekitar tahun 1977 dan 1978, yang mendorongkan lagi perbedaan tindakan dan taktik dalam perjuangan. 

Kesannya menyebabkan ketidaksatuan hati dan tindakan yang mewujudkan puak-puak tertentu dalam PAS. Ini menambahkan lagi suatu punca perpecahan. Selain dari faktor Kerajaan Campuran, Tengku Razaleith Hamzah juga dikatakan berperanan menjatuhkan PAS. Pengaruhnya yang kuat dan bersungguh-sungguh dalam menjadikan UMNO Kelantan sebagai base atau tapak untuk karier politiknya di samping mempunyai beberapa kelebihan dan kemudahan di negeri tersebut. 

Menurut Tengku Razaleith waktu itu, sepanjang tempuh menerajui Kelantan sejak 1959, PAS kurang memberi perhatian kepada rakyat, bahkan berselindung dengan Islam dan propaganda politiknya hingga mengkhayalkan ramai orang. Justeru, atas kesedaran bahawa rakyat Kelantan mempunyai mentaliti yang tinggi dan berpotensi untuk maju terutama sebagai anak Kelantan, beliau ingin melihat orang-orang Kelantan menguasai bidang-bidang pekerjaan mengikut merit dan bukan kerana lain-lain sebab. Beliau tidak mahi rakyat Kelantan diperalatkan oleh sesetengah golongan. 

Beliau mengatakan PAS memperalatkan Islam kerana sepanjang 19 tahun, tidak ada satupun akta dari undang-undang yang dipinda untuk menghala kepada penghayatan Islam. Timbalan Setiausaha DAP, Encik P.Patto pula menegaskan, punca kejatuhan kerajaan PAS Kelantan ialah kerana permainan politik yang berat sebelah dari pemerintah. Semasa darurat dan MAGERAN rapat umum tidak dibenarkan, tetapi melalui usaha beberapa tokoh politik UMNO telah menghangatkan suasana keruh di Kelantan. 

Rapat umum sudah tidak kira permit lagi. Jentera Kerajaan Pusat telah digunakan sebagai jentera parti, membantu demontrasi anti Asri dalam bulan September hingga Oktober 1977, di Kota Bharu. Dikatakan juga ada antara anggota polis memainkan peranan yang sama tanpa memikirkan tugas sebenar mereka sebagai pegawai keamanan rakyat. Pada P.Patto, rakyat tidak menolak kerajaan PAS tetapi kejatuhan PAS disebabkan penyalahunaan kuasa oleh pihak kerajaan. 

Beberapa kalangan pimpinan PAS sependapat mengatakan sebab utama kejatuhan PAS Kelantan adalah kerana tindakan tidak demokratik dan sistem politik kuno pemerintah dalam pilihan raya tersebut, yang secara mengejut tanpa memberi ruang waktu serta kebebasan berkempen, iaitu lebih kurang 3 bulan sebelum MAGERAN diisytiharkan. Sedangkan semua media masa dijadikan alat sebaran BN yang mempengarui kepercayaan dan sokongan pengundi. 

PAS tidak mempunyai alat sebaran yang cukup untuk menerangkan kepada rakyat Kelantan tentang peristiwa MAGERAN, politik darurat, isu balak, rasuah, tanah dan krisis Asri-Nasir, sedangkan rakyat disumbat dengan kekeliruan tersebut melalui tv, radio, akhbar dan sebagainya. Ini bermakna PAS bukan sahaja berlawan dengan parti-parti yang menentang seperti UMNO, Berjasa, Bebas dan lain-lain, tetapi juga berhadapan dengan seluruh jentera parti kerajaan BN atau Kerajaan Malaysia. 

MeMAGERANkan Kelantan sebenarnya merupakan satu senjata politik untuk membolehkan UMNO menang di Kelantan. Dalam suasan darurat PAS sudah pasti tidak dapat menangkis tuduhan-tuduhab liar. Dengan itu fitnah-fitnah yang dilempatkan kepada kerajaan PAS menambahkan kekeliruan rakyat, sedangkan PAS tersekat dari membela diri. Datuk Muhammad Nasir sendiri jelas menampakkan kecenderungan dan sikap ke arah BN sejak tahun 1975 lagi. Katanya, beliau ‘bukan MB PAS tetapi MB BN’ se waktu diinterbiau oleh wartawan Bernama pada masa itu. 

Dalam ucapan di Pasir Mas pada 13 Mei 1977, Muhammad Nasir mendakwa beliaulah satu-satunya MB Kelantan yang menyelamatkan Kelantan dari kerosakan yang telah ditimbulkan oleh kerajaan lalu, maksudnya kerajaan yang diperintahkan oleh PAS sejak tahun 1959 lagi. Melalui akhbar-akhbar tempatan pula pada 14 September 1977, beliau menuduh usaha untuk menggulingkan beliau didalangi oleh tokoh-tokoh tertentu di Kuala Lumpur untuk menutup apa yang dikatakan sebagai kecurangan berkaitan 3 masalah, iaitu: 

1..Masalah Syarikat Timber Mine. 

2..Masalah membalak di kawasan sempadan Kelantan-Perak seluas 250,000 ekar tahun 1972, antara Kerajaan Negeri melalui SEDC dengan Syarikat Ong Kian Seng. 

Datuk Mohd Asri pula dalam ucapan di Mesyuarat Agung PAS ke 24, beliau menjelaskan, “Perbelanjaan bulanan Pejabat Agung adalah $3,000, sementara perolehan pendapatan melalui pendermaan daripada legislator adalah hanya $1,950 sebulan.” 

Ustaz Nakhaie menjelaskan, sepanjang penglibatannya dalam PAS sekitar tahun70an hingga 80an, beliau menyenaraikan empat bentuk kelemahan dalam PAS: 

1..Kelemahan pengurusan dan pentadbiran parti, terutamanya dalam pengurusan kewangan dan keahlian yang licin. 

2..Budaya ilmu dalam PAS yang belum mantab, di mana perjuagan Islam yang ditegakkan tidak begitu dinilai dari sudut keupayaan memahami Islam, tetapi lebih kepada semangat dan sentiment sahaja. 

3..Kemantapan ideologi dan Islam belum mantap pada tahun 1978. Walaupun matlamatnya Islam, tetapi cara untuk mencapainya tidak jelas bagaimana ia boleh dilaksanakan dalam masyarakat. 

4..Kurang pentarbiahan ahli-ahli di mana pengurusan pentarbiahan dan sumber kewangan menghadapi masalah. 

itu cerita 35 tahun dulu.saya harap sekarang PAS semakin matang memimpin kelantan.

Disclaimier : KAMI DI KPSK TIDAK PANDAI MENULIS KISAH POLITIK. NAMUN, ARTIKEL INI MENJELASKAN ISU MAGERAN 1977 di KELANTAN.

KAMI MENYALIN ARTIKEL INI DI : http://wargamarhaen.blogspot.com/2012/01/kelantan-1977-darurat-pergolakkan.html

3 responses

  1. bagus,xbias….masing2 ado pro contra dlm parti….

  2. […] Hal ini kami ada siarkan di blog rasmi dan boleh dibaca pada pada pautan ini : MAGERAN 1977 : PERGOLAKAN KELANTAN ERA MODEN […]

  3. […] Kelantan pada 1977. Hal ini kami ada siarkan di blog rasmi dan boleh dibaca pada pada pautan ini : MAGERAN 1977 : PERGOLAKAN KELANTAN ERA MODEN Hari ini, kami siarkan pula keratan akhbar dari Utusan Malaysia tersebut. Semoga ia menjadi rujukan […]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: