KELANTAN PURBA 1 : EMPAYAR YAWADWIPA
KELANTAN
PENDAHULUAN
Negeri Kelantan adalah salah sebuah Negeri Persekutuan dalam Negara Malaysia. Negeri Kelantan dan rakyatnya telah lama mengalami pelbagai pahit manis dalam kehidupan.
Umum mengenali Kelantan sebuah negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang bersempadan dengan Thailand adalah sebuah Negara miskin dan mundur dari segi insfratruktur dan ekonomi. Rakyat Malaysia melihat Kelantan sebuah negeri yang melahirkan ramai rebellion namun bukanlah hingga menjadi fundamentalist.
Sejarah Malaysia melihat Kelantan sebagai sebuah negeri yang azali lagi dikuasai oleh pembangkang semenjak sebelum merdeka lagi. Namun itulah hakikatnya dengan kini ditadbir oleh seorang Menteri Besar yang telah berkuasa lebih dari 20 tahun.
Kami ingin menyeru rakyat Malaysia untuk mendekati masyrakat Kelantan dengan lebih dekat dengan mengenali Sejarah Kelantan itu sendiri.
KELANTAN PURBA
Kelantan mempunyai sejarah yang lama dan tua, tidak dinafikan negeri-negeri lain mempunyai sejarah yang panjang dan juga rumit. Namun, kajian kami hanyalah tertumpu pada aspek negeri Kelantan sahaja dengan mengambil rujukan dari kajian dan penulisan tentang sejarah Kelantan. Kami tinggalkan sejarah negeri lain untuk dibongkar sendiri oleh anak negeri masing-masing.
Berbalik kepada persoalan pokok, Nakula dalam monografnya telah menyatakan bahawa Kelantan adalah sebuah negeri yang berkembang dan runtuh beberapa kali dalam sejarah dan sejak dari zaman purba lagi ia menjadi sebuah pusat pentadbiran oleh empayar besar ketika itu. Namun, kesan tinggalan empayar-empayar ini telah musnah akibat bencana alam dan juga serangan dari negara musuh kerana itu berlakunya kesilapan pada para pengkajinya.
Berikut disenaraikan 7 zaman yang berkisar di Kelantan[1]:
- Zaman Empayar Jawadwipa
- Zaman Empayar Sriwijaya
- Zaman Empayar Sampugita
- Zaman Empayar Jawaka-Malayur
- Zaman Empayar Majapahit
- Zaman Negara Patani
- Zaman Kelantan Merdeka
Zaman Empayar Jawadwipa
Ribuan tahun dahulu dikatakan Kelantan bernama “Medang Kamulan” sama erti dengan “Medang Permulaan” yang membawa maksud “Teras (kayu) medang”. Ianya adalah tempat lahirnya dewa-dewa dan dewi-dewi dari Alam Kayangan dan memegang peranan penting dalam Sejarah Asia Tenggara, Sejarah Jepun, China dan India.
Menjelang abad pertama, ia bernama Medang Gana dan nama ini kekal hingga abad ke-5. Pada abad pertama masihi Raja Medang Gana bergelar Sri Kripawarman atau disebut juga sebagai Wan Pa. Watak ini dalam buku Nakula telah menjadi pengasas keluarga DiRaja Kelantan yang paling lama dalam sejarah dengan berterusan hingga awal abad ke-17.
Wan Pa mempunyai dua orang saudara yang terkenal iaitu Maliniwarman (Wan Malini) dan seorang lagi bernama Kaundinyawarman (Wan Kaundinya). Wan Kaundinya ini adalah pengasas kepada negara Gunung yang terletak di Kemboja dengan catatan China merujuka negara ini sebagai Fu-nan yang bermaksud Gunung.
Wan Pa adalah seorang pemerintah yang hebat, beliau telah berjaya menakluk seluruh negara dalam semenanjung dan menggelarkan bangsa yang mendiaminya dengan nama Jawa dan memberi nama tanah semenanjung menurut nama bangsa itu sebagai Jawadwipa atau Yawadwipa yang bererti Kawasan Jawa atau Tanah Jawa. Nama ini terpakai untuk seluruh Asia Tenggara kerana Wan Pa telah menakluk seluruh Nusantara dan ianya kekal untuk beberapa abad. Kini nama ini hanya dipakai oleh Pulau Jawa sahaja.
Kejatuhan Jawadwipa
Pada abad ke-3, empayar Jawadwipa telah runtuh akibat diserang oleh Funan dan terus berada dibawah penguasaan Funan. Pada abad ke-5, Kelantan dikenali sebagai Kalatana yang bermaksud Tanah Kala hal ini diperkukuhkan dengan catatan China yang merekod Kelantan dengan nama Ho-Lo-Tan atau Kou-lo-Tan. Manakala dalam buku Sung Shu yang disusun oleh Shen Yao (414-512) dinyatakan Negara Ho-Lo-Tan menguasai atas She-p’o-chou yang bermaksud Negara Kalatana menguasai atas Yawadwipa.
Pertengahan abad ke-6, nama Kalatana ini berubah apabila seorang rajanya yang bernama Gautama dari Sri Kripawarman memberontak terhadap pemerintah Gunung (Fu-Nan) dan berhasrat membina kota yang lebih strategic untuk menangkis serangan dari Maharajanya. Beliau telah memindahkan ibu kotanya kearah ulu Kelantan yang dilindungi oleh bukit bukau semulajadi yang kaya dengan emas. Gautama telah menggelarkan negeri barunya ini sebagai Raktamrittika yang bermaksud “Negeri Tanah Merah”
Hal ini diperkuatkan dengan catatan dalam Shi Shu yang disusun oleh Wei Cheng (581-643) dengan merekod sebagai Chih-Tu yang bermaksud Negeri Tanah Merah. Perkara ini dicatatkan pada tahun 607M ketika seorang Utusan Maharaja China melawat negara Raktamrittika. Utusan tersebut telah memperincikan kedudukan negara Chih-Tu ini dengan menyatakan ianya mengambil masa 10 hari pelayaran dari arah utara ke Seletan dan pantainya mengahadap kearah utara dan antaranya adalah champa. Ibu kotanya terletak kearah ulu sungai. Apabila kapal tiba dikawasan Jeram, kapal tersebut telah ditarik dengan Rantai Emas dan ini membuktikan kawasan ini amat kaya dengan Emas.
SEKIAN…..
Posting berikutnya adalah tentang Zaman Empayar SRIWIJAYA.
[1] Rujuk buku Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Penting oleh Abdullah Mohamed (Nakula), 1981