DIKIR BARAT


Pasukan Dikir Barat Kelab Seni Budaya PPUKM

DIKIR BARAT
Dikir Barat adalah suatu permainan tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan. Ianya wujud di kalangan masyarakat biasa di kampung kampung dan pinggir bandar. Di dalam persembahan Dikir Barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang karut dan Tok Juara. Mereka akan mengarut sambil berbalas – balas pantun dan diikuti oleh awak awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.

Dikir barat ini boleh dipersembahkan sebagai hiburan atau pun dipertandingkan. Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat di musim menuai padi dan juga di majlis perkahwinan. Pertandingan selalunya diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan ataupun orang-orang tertentu untuk mengutip wang.

Perkataan Dikir ialah hasil dari dua kombinasi seni iaitu Dikir dan pantun atau dikir dan karut. Pengertian “Karut” itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi Dikir Barat, Dikir Karut, Dikir pantun dan Dikir Syair adalah sama ertinya. Walaubagaimanapun di Kelantan ianya lebih terkenal dengan Dikir Barat dan di Selatan Thai dengan Dikir Karut.

ASAL USUL DIKIR BARAT

Beberapa pendapat telah diperkatakan tentang asal-usul Dikir Barat. Ada yang mengatakan ianya berasal dari Selatan Siam. Sebenarnya Dikir Barat ini yang lebih terkenal dengan nama Dikir Karut dibawa dari Negeri Siam ke Negeri Kelantan. Mengikut orang-orang Kelantan, perkataan Barat ini bermakna Selatan Siam. Ini tidak dapat dinafikan kerana padaa suatu ketika dahulu Negeri Kelantan ini pernah diperintah oleh Kerajaan Siam. Rakyat daripada kedua dua buah negeri ini selalu berulang-alik dan dengan secara langsung Dikir ini dibawa ke sini dan diterima pula oleh masyarakat. Ketika ianya dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk Dikir dan di sana juga ianya ditambah dengan pantun-pantun dan diubahsuai dari segi persembahan dan loghatnya sesuai dengan keadaan sekeliling dan suasana tempatan.

Bila memperkatakan Dikir Barat, nama Pak Leh Tapang tidak boleh dilupakan. Ramai orang mengenali beliau kerana Dikir Barat. Pak Leh Tapang atau nama sebenarnya Haji Mat Salleh bin Hj. Ahmad berasal dari Kampung Tapang, Kota Bharu. Beliau telah mengakui sendiri yang Dikir Barat ini sebenarnya berasal dari Selatan Siam. Beliau telah mengubahkan permainan ini dengan menambahkan pantun-pantun di dalamnya. Jadi sebelum itu, ketika Dikir Barat dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk Dikir tanpa pantun. Semasa pemerintahan Jepun, beliau pernah dipanggil untuk meriwayatkan sesuatu dengan cara berpantun. Masa itu juga ada satu kumpulan berdikir yang diketuai oleh Jaffar Wakaf Mek Zainab yang memperkenalkan Dikir Barat di kampungnya. Awak-awaknya terdiri daripada orang-orang Melayu Barat (Selatan Siam). Mereka melagukan lagu-lagu yang dibawa dari Selatan Siam dan Pak Leh Tapang pula yang mengubah dan menambahkan dengan pantun-pantun untuk menyedapkan lagi dikir barat.

LATAR BELAKANG KUMPULAN DIKIR

  • Di dalam satu-satu pasukan Dikir Barat terdiri daripada seorang Tukang karut , seorang juara dan beberapa orang awak-awak (Selalunya antara 15 ke 30 orang).
  • Tukang Karut merupakan orang yang paling penting dalam satu-satunya pasukan dikir barat. Tugas Tukang Karut yang paling penting sekali ialah berpantun dan bersyair. Pantun-pantun dan syair itu didendangkan dengan cara spontan mengikut seleranya. Maka idea-idea, isi-isi puisi itu, bahasa dan persoalan yang dikemukakan tanpa berfikir dua kali.
  • Jogho, (Juara) merupakan orang kedua penting dalam satu pasukan Dikir Barat. Tugasnya ialah berdikir sebelum Tukang karut mengarut. Hanya kadangkala, juara juga terpaksa mengarut iaitu di waktu Tukang Karut belum tiba (biasanya di awal permainan) , tapi masanya tidaklah lama, Juara berdikir sambil duduk di sepanjang permainan, tetapi Tukang Karut mendendangkan karutnya sambil berdiri.
  • Awak-awak ialah kumpulan orang berdikir dalam satu-satu permainan Dikir Barat. Kebiasaannya awak-awak ini terdiri daripada muda mudi belasan tahun. Pada praktiknya orang dewasalah yang lebih ramai menjadi awak-awak.

Gelaran awak-awak ini mengambil sempena dari nama kumpulan nelayan yang turun ke laut dalam sebuah perahu di bawah jagaan seorang ketua yang dipanggil “Jeragan” jadi keadaan ini disesuaikan dengan pelakon awak-awak dalam permainan Dikir Barat yang di bawah jagaan ketua mereka, Juara.

LAGU DIKIR BARAT

Di antara lagu-lagu Dikir Barat yang terkenal ialah:

  1. Karut Kelantan Cepat.
  2.  Karut Kelantan Anjur (Perlahan)
  3. Karut Petani
  4. Karut Wok Yoh
  5. Karut Pendek
  6. Karut Yengki Cepat
  7. Karut Yengki Anjur
  8. Karut Yengki Tengahan (Sederhana)
  9. Karut Yengki Ding Ding
  10. Karut Hala
  11. Karut Selampit
  12. Karut Menora
  13. Karut Jenaka Mak Yong
  14.  Karut Wau Bulan

Ada tiga jenis irama Dikir :-

  1. Irama Asli
  2. Irama Padang Pasir.
  3. Irama Hindustan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: