TAN-TAN & PAN PAN DUA NEGERI MELAYU YANG SERING DI LUPAKAN


TAN-TAN & PAN PAN DUA NEGERI MELAYU YANG SERING DI LUPAKAN

Pendahuluan
 
Semenanjung Malaysia ini pernah menyaksikan pelbagai kerajaan pernah wujud hinggalah sekarang. Sehingga 1957 terdapat dua belas negeri yang berlainan wujud di semenanjung. Sejarah 12 negeri ini cukup panjang untuk dikaji dan diselidik secara individu. Suatu masa dahulu, semenanjung ini juga pernah wujud pelbagai negeri dan sering dilawati oleh wakil-wakil dari Istana China. Namun, pengkaji tempatan gemar merujuk kepada Chih Tu dan Cheih Cha, dan sering melupakan tentang Tan Tan dan Pan Pan.
 
Tan Tan
Tan Tan pernah kami terbitkan di pautan ini. Perspektif artikel tersebut ditulis berdasarkan kepada pandangan Prof. Slamet Mulyana, seorang sejarahwan Belanda berbangsa Indonesia. Artikel tersebut menyimpulkan bahawa Tan Tan ini terletak di Tendong, satu daerah dalam jajahan Pasir Mas di Kelantan. Slamet Mulyana menjustifikasikan Tendong sebagai Tan Tan berdasarkan kedudukan Tendong di arah Barat Daya Telemong di Terengganu yang pada hematnya sama dengan To lo mo seperti mana yang tercatat dalam rekod China. Kali ini kami sampaikan satu lagi maklumat tentang Tan Tan menerusi perkspektif yang berbeza dan juga lebih tepat berbanding dengan pandangan dalam artikel kami yang terdahulu.
Menurut Paul Wheatly yang menterjemah rekod China yang bertajuk Tung Tien, Tan Tan ini buat pertama kali muncul dalam rekod China semasa pemerintahan Dinasti Sui dan terletak di arah Barat Daya To lo mo. Wheatly menyatakan bahawa To Lo Mo ini sama dengan Taruma sebuah kerajaan kuno di Jawa yang kini menjadi Jakarta.
Bedasarkan Tung Tien, Tan Tan ini digambarkan mempunyai struktur pentadbiran yang kompleks dengan mempunyai raja yang dikenali sebagai Sha Li dan Sha Li yang memerintah pada waktu itu bernama Shih ling chia. Ibu Kota Tan Tan mempunyai 20,000 keluarga dan rajanya agak sibuk kerana setiap hari baginda mempunyai dua sesi bertemu dengan rakyat iaitu pada waktu pagi dan petang. Baginda mempunyai 8 orang menteri yang dikenali sebagai Pa Tso yang terdiri daripada Brahman. Hasil negeri ini adalah emas, perak, kayu putih, kayu sapan dan buah pinang. Tanaman ruji adalah padi, manakala haiwan peliharaan adalah rusa, kambing, babi, gagak, angsa, itik, musang dan kijang. Burungnya pula terdiri daripada burung kenyalang dan merak.
Dari gambaran ini kita boleh bayangkan bahawa Tan Tan ini sebuah negeri yang makmur dan kaya, kerana itu ianya menarik perhatian pedagang China untuk singgah. Namun, tiada rekod menunjukkan Tan Tan menghantar perwakilan ke China.
Menjadi hal yang menarik untuk diperhatikan adalah mengenai lokasi Tan Tan yang sebenar. Mengikut Paul Wheatly berdasarkan inskripsi dari China, Tan Tan berkait rapat dengan Chih Tu kerana mereka berada di laluan dari laut selatan. Lokasi Chih Tu telah kita kenal pasti iaitu terletak di Pantai Timur Semenanjug di sekitar lembangan Sungai Kelantan manakala Tan Tan berkedudukan sedikit ke selatan di Kuala berkemungkinan di Besut atau di Kuala Terengganu.
Justifkasi dari Whealty ini agak kemas kerana di Besut pernah wujud satu kerajaan yang besar, begitu juga Kuala Terengganu yang kini merupakan ibu negeri Terengganu.
Pan Pan
Rekod China paling awal mencatatkan tentang kerajaan ini adalah Liang Shu pada bahagianFunan yang mengisahkan mengenai Kaundinya II yang menaiki takhta Funan. Kisahnya bermula apabila Funan tiada pengganti setelah kematian Chu Chan Tan. Kaundinya telah dilantik menjadi pengganti Raja Funan itu. Kaundinya ini juga merupakan seorang Brahman dari India dan dalam perjalanan beliau ke Funan beliau telah singgah di Pan Pan. Beginilah nama Pan Pan timbul dalam rekod China.
Mengikut pembacaan kami, nama Pan Pan ini dalam bahasa Sanskrit sinonim dengan Tambralingga dan hal ini banyak dibicarakan. Kami juga pernah menyatakan hal ini dalam artikel-artikel terdahulu semasa kami membuat penghuraian mengenai kerajaan Funan dan Champa. Namun, kali ini kita melihat Pan Pan dari sudut rekod China.
Liang Shu adalah catatan pertama yang merekod tentang Pan Pan. Namun setelah itu Pan Pan ini mempunyai bahagian khusus dalam Liang Shu setelah mereka mula menghantar delegasi ke Istana China pada tahun 424 – 453, 454-456, 457-464, 527, 529, dan 534. Selain dari itu, satu lagi rekod China juga mencatatkan kedatangan delegasi dari Pan Pan pada tahun 532 iaitu Nan Shih.
 
Setelah itu, nama Pan Pan ini timbul dalam rekod-rekod China yang berlainan. Rekod daripada Ma Tuan Lin dalam Wen hsien Tung Kao menghuraikan Pan Pan dengan jelas. Ma Tuan Lin menyatakan Kerajaan Pan Pan memulakan hubungan dengan China semasa pemerintahan Dinasti Liang (502 – 557), namun Wheatly menyatakan ianya bermula lebih awal lagi iaitu pada tahun 424. Kerajaan ini digambarkan sebagai sebuah kerajaan yang kuat dan mewah. Rakyatnya hidup aman dan damai serta mempunyai kelengkapan tentera yang mencukupi serta mempunyai produk makanan yang unik.
Dari catatan Ma Tuan Lin ini, Wheatly menyimpulkan bahawa Pan Pan terletak di kawasan Pantai Timur semenanjung atau lebih tepat di kawasan segenting kra berhadapan dengan Champa dan dipisahkan oleh Teluk Siam. Pan Pan ini mempunyai perkaitan rapat dengan Patani kerana ibu negeri Patani sewaktu kegemilangannya terletak di kawasan Segenting Kra.
Tan Tan dan Pan Pan adalah nama China. Namun kita yakin nama Melayu bagi dua negeri ini adalah Terengganu (Tan Tan) dan Patani (Pan Pan). Terengganu adalah sebuah negeri dalam persekutuan Malaysia manakala Patani berada di bawah Thailand (Siam).
Kesimpulan
 
Tan Tan dan Chih Tu membuka lembaran sejarah bahawa negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung mempunyai sejarah yang panjang dan unik. Pan Pan pula membuka pintu untuk kita teliti kegemilangan Bangsa Melayu. Apa yang pasti, kenapa sejarah negeri-negeri Pantai Timur tidak begitu menonjol dalam pengisahan sejarah Malaysia. Kita banyak mempelajari tentang sejarah Melaka, Johor dan Perak serta Pulau Pinang. Kenapa kita kurang mengetahui tentang sejarah negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak serta Sabah. Mungkinkah ada agenda tersembunyi?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: