Category Archives: Gua Musang

Peristiwa Berdarah di Gua Musang


Gambar Hiasan. Pemandangan dari Sungai Nenggiri – Gua Musang, Kelantan.

ANCAMAN PENGGANAS

Selepas gencatan senjata oleh tentera Jepun pada akhir Perang Dunia Kedua, Tanah Melayu dikejutkan dengan pelbagai peristiwa keganasan dan pembunuhan yang dicetuskan oleh pengganas komunis bagi mencapai matlamat mereka menguasai Tanah Melayu.

Ekoran peristiwa ini pada 16 Jun 1948, Darurat telah diisytiharkan oleh Gabenor kerajaan kolonial British, Sir Edward Gent, untuk membendung kegiatan komunis yang menjadikan kawasan terpencil terutama sekali balai-balai polis sebagai sasaran mereka untuk mendapatkan bekalan makanan, senjata api dan peluru.

Salah sebuah balai yang menjadi mangsa kekejaman mereka ialah Balai Polis Gua Musang yang pada masa itu baru didirikan semula di kaki Bukit Gua Musang berhampiran dengan stesen keretapi menggantikan balai polis yang musnah dibakar semasa pendudukan Jepun.

Sejarah hitam itu berlaku pada 19 Julai, 1948 apabila segerombolan komunis seramai lebih kurang 300 anggota telah mengepung dan menyerang balai berkenaan.

Walaupun dengan kekuatan seramai 16 anggota yang diketuai oleh seorang pegawai polis berpangkat Inspektor, mereka dapat bertahan selama hampir satu jam setengah sehingga kehabisan peluru.

Seorang anggota polis terkorban, 14 anggota telah menyerah diri dan seorang lagi berjaya melarikan diri. Manakala di pihak komunis tidak diketahui jumlah yang terkorban.

Pada keesokan harinya, satu operasi dengan pesawat terbang Dakota telah dilakukan terhadap pengganas komunis di bandar ini. Anggota-anggota polis yang ditawan pengganas dalam pertempuran sehari sebelum itu berjaya dibebaskan dan dibawa balik ke Kuala Krai.

Gerombolan komunis tersebut dipercayai telah berundur melalui Kampung Pulai.

Gambar Hiasan. Stesen Keretapi Gua Musang

SERANG HENDAP

Dalam salah satu episod keberanian Regimen Askar Melayu Diraja, satu pasukan yang diketuai pegawai British berpangkat Mejar bersama 10 orang anggota telah diserang hendap di landasan keretapi lama kira-kira tiga kilometer ke selatan Merapoh ketika dalam perjalanan menuju ke Balai Polis Gua Musang.

Pertempuran yang berlarutan hampir enam jam itu telah mengorbankan pegawai British tersebut dan enam anggota regimen yang lain.

Sementara itu dalam kejadian Sungai Semur pada 25 Mac, 1950, satu platun seramai 25 anggota dari Kompeni D Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja telah diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis dengan kekuatan seramai 250 anggota ketika menyusuri sungai tersebut kira-kira jam 10.30 pagi.

Pertempuran sengit yang berlarutan hampir empat jam itu menyebabkan anggota tentera berkenaan hampir kehabisan peluru.

Akhirnya 17 anggota tentera telah gugur, enam cedera parah dan dua lagi mengalami kecederaan ringan.

Meskipun tewas, mereka telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam melawan musuh yang hampir 10 kali ganda daripada kekuatan mereka. Malah apa yang lebih membanggakan mereka berjaya membunuh seramai 29 anggota komunis dan mencederakan ramai yang lain dalam pertempuran itu.

Kesemuanya itu terpahat dalam lipatan sejarah tanah air dan pada 27 Jun ini bandar ini mencatat satu lagi sejarah dengan pembukaan sebuah balai polis baru yang serba moden oleh Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra.

Ketua Polis Negara Tan Sri Bakri Omar dijangka turut hadir pada majlis perasmian untuk balai polis itu, balai yang ke-empat dalam sejarah Gua Musang.

Sumber : Mail Archive.com dan Wikipedia

Seputar@Gua Musang


Peta Gua Musang

LATAR BELAKANG

Secara umumnya, Gua Musang bermaksud “gua atau tempat musang”. Ia sebuah pekan kecil yang diselusuri oleh jalan keretapi. Terletak kira-kira 160 km di Ulu Kelantan di selatan Kuala Krai, ia juga dikenali jajahan pedalaman Kelantan kerana kawasan ini amat terpencil. Jajahan Gua Musang merupakan jajahan yang terbesar di Kelantan.

Di bahagian timur pekan ini, ada sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Gua Musang setinggi 105 meter. Pada masa dahulu sebelum diterokai, kawasan ini dihuni oleh masyarakat orang asli yang hidup dengan memburu, suka berpindah-randah dan tidak bergaul dengan masyarakat lain.

Jajahan Gua Musang merangkumi 3 DUN iaitu Paloh, Nenggiri atau dulunya Bertam dan Galas (Bandar Gua Musang). Ahli Parlimennya kini ialah Bekas Menteri Kewangan Malaysia & Pengasas Petronas iaitu Tengku Razaleigh Hamzah.

JAJAHAN GUA MUSANG

  1. Mukim Batu Papan
  2. Mukim Gua Musang
  3. Mukim Ulu Nenggiri
  4. Mukim Ketil
  5. Mukim Kuala Sungai
  6. Mukim Limau Kasturi
  7. Mukim Pulai
  8. Mukim Relai
  9. Mukim Renok
  10. Bandar Gua Musang

 

TEMPAT MENARIK DI GUA MUSANG

i) Kolam Air Panas Ber

ii) Taman Etnobotani

iii) Taman Negara Kuala Koh

iv) Sungai Nenggiri dan Rangkaian Jeram

v) Padang Golf dan Sukan Berkuda

vi) Gua Madu

vii) Tasik Ketitir

 

KEINDAHAN GUA BATU KAPUR

Khazanah alam semula jadi yang belum terusik ini, memiliki keunikannya tersendiri dengan keindahan gua batu kapur dengan lakaran abstrak stalaktit dan stalagmit yang pasti memukau mata memandang pencinta alam semula jadi yang singgah di sini.

Selain dari itu pemandangan indah bukit-bukit batu kapur seolah-olah “sedang beratur” boleh dilihat dengan menaiki keretapi sama ada dari Tumpat atau Gemas.

Perkhidmatan keretapi merupakan satu-satunya kemudahan pengangkutan awam yang dibina pada zaman pemerintahan British sebelum terbinanya jalan raya yang menghubungi bandar ini dengan Kuala Krai pada lewat tahun 1970-an.

Sepanjang laluan bermula dari Perhentian Manek Urai, Bukit Abu dan Dabong ia menyusuri lapan terowong, yang dipanggil “Bukit Korek” oleh penduduk tempatan, sepanjang 50 hingga 670 meter di kawasan bukit batu kapur.

 

Pemandangan Biasa di Stesen Keretapi Gua Musang tahun-tahun 80an

Penjaja mencari sesuap rezeki di Stesen Keretapi Gua Musang

Kepala Keretapi yang digunakan pada tahun-tahun 80an