EMPAYAR KELANTAN PURBA 4 : EMPAYAR JAWAKA DAN MALAYUR
Pada pertengahan abad ke-13, dalam zaman pemerintahan Maharaja Suran ketika baginda sedang berperang di Sri Lanka yang memberontak, empayarnya di Asia Tenggara telah runtuh kerana pemberontakan anak saudaranya Sang Nila Utama dari Sumatera. Maharaja Suran telah menggandaikan Pulau Sri Lanka kepada Raja Pandya di India Selatan dan meminjam sejumlah besar tenteranya untuk menundukkan kembali negara-negara yang berpisah.
Maharaja Suran memberikan nama baru bagi empayar Sampugita yang telah runtuh itu dengan nama Empayar Jawaka. Meskipun baginda masih menjadikan Kelantan sebagai wilayah pusat, namun dalam zamannya peranan besar Kelantan dalam sejarah mulai surut. Empayar Jawaka terlibat dalam peperangan dengan Pandya dalam merebut Pulau Sri Lanka dan peperangan dengan Sukhothai disebelah utara untuk menahan perkembangan bangsa Thai atau Siam yang mendesak ke selatan.
Penghujung abad ke-13, Raja Sang Tawal cucu kepada Maharaja Suran memindahkan ibu kotanya dari Kelantan kearah utara iaitu ke wilayah Phatthalung, hampir dengan Ligor untuk mempertahankan semenanjung dari ancaman bangsa Thai itu. Baginda menamakan empayarnya yang telah merosot dengan Malayur. Empayar ini hanya meliputi kawasan dari Terengganu hingga Sengenting Kra sahaja.
Peperangan menentang Sukhothai terjadi selama beberapa dekad. Dalam Yuan Shih ada disebut tentang peperangan yang lama diantara orang-orang Sien (Siam) dan Mali Yu Eul atau Mali Yu Erh (Malayur) dan oleh kerana ini Maharaja Tartar yang memerintah China menghantar surat kepada Raja Sukhothai dalam tahun 1295 melarangnya supaya jangan meneruskan peperangan itu.
Akhirnya Empayar Malayur ini runtuh dalam bahagian pertama abad ke-14 kerana serangan Sukhothai. Raja Sang Tawal memindahkan ibu kotanya dari Selatan ke Langkasuka.
KELANTAN PURBA 3 : EMPAYAR SAMPUGITA
Maharaja Sanjaya telah memperluaskan empayar Sri Wijaya Mala yang berpusat di Medang Bhumi. Empayarnya amat luas.
Selesai menawan Benua Afrika dan Benua India, Maharaja Sanjaya telah menggelarkan empayar beliau ini sebagai Empayar Sampugita yang bermaksud Nyanyian Sang Bunga yang juga membawa maksud tersirat iaitu perlanjutan bunga teratai yang bernama Sri Wijaya Mala. Sampugita inilah disebut-sebut dalam catatan Arab yang merujuk kepada nama Zabaj.
Ekoran kejayaan memperluaskan empayar ini, Maharaja Sanjaya telah memasang tekad untuk menakluk Kusadwipa pula. Kusadwipa adalah benua Amerika sekarang ini. Sebagai usaha dalam merealisasikan hasrat ini Maharaja Sanjaya telah menghebahkan kempen ini ke seluruh alam nusantara untuk mengumpul bala tentera. Usaha ini dijalankan selama 2 tahun, namun ketika rancak merencanakan rancangan ini Maharaja Sanjaya telah mangkat pada usia 130 tahun.
Setelah itu, kelantan mengalami pasang surut dalam pemerintahan. Catatan orang Arab dalam abad ke-9 dan 10 masih menunjukkan pusat pemerintahan empayar ini terletak di Pantai Timur Semenanjung iaitu di Medang Bhumi. Seorang saudagar Arab yang bernama Sulaiman telah mencatat dalam bukunya pada tahun 851 Masihi menyatakan bahawa pada suatu masa, Raja Qamar (Khemra atau Kemboja) telah menunjukkan reaksi untuk menderhaka kepada Maharaja Zabaj. Apabila berita ini diketahui, baginda telah menyiapkan angkatan laut dengan helah untuk membuat lawatan ke Kepulauan, tetapi sebaliknya baginda telah menyerang khemra dengan 1000 buah kapal berukuran sederhana dan berjaya menawan rajanya, kemudian dibunuh. Kerana tindakan ini nama baginda telah digeruni sehingga ke negara China dan India. Riwayat ini telah dipetik oleh Abu Zaid Hassan, disiarkan dalam bukunya yang ditulis dalam tahun 916 Masihi.
Menurut Abu Zaid, Zabaj terletak sejauh 10 hari pelayaran dari Kemboja. Ini membuktikan dalam abad ke-10 pusat empayar masih terletak di Medang Bhumi. Jarak itu adalah sesuai dengan pelayaran dari Medang Bhumi ke ibu kota Khemra yang terletak tidak jauh dari Phom Penh.
Dalam abad ke 11, selepas serangan Rajendra Chola, Raja Padya di India Selatan keatas Sumatera, Semenanjung dan Segenting yang berakhir dalam tahun 1030 Masihi, wilaya Sri Wijaya yang berpusat di Kota Palembang bangkit dan menyatukan seluruh kepulauan. Kemudian, bersama dengan Empayar Sampugita yang berkuasa di Semenanjung dan Segenting menyerang balas atas negara Pandya di India Selatan itu.
Dalam abad ke-11 juga, nama Medang Bhumi untuk Kelantan tua mula lenyap. Menurut riwayat tradisi dalam zaman ini orang melihat suatu “pancaran sinar” yang kuat pada waktu malam, memancar dari Bukit Panau yang berbentuk saji terus menjulang kelangit. Pancaran ini bukan sahaja dilihat oleh penduduk Kelantan, juga penduduk-penduduk negeri lain, oleh kerana pancaran sinar ini mempunyai satu pengertian yang rahsia, maka Maharaja Sampugita pada zaman itu mengubah nama negara pusatnya menjadi “Medang Kilatan Saji”. Orang-orang Cham dari negara Champa menggelar negeri Kelantan sebagai Klanjengeh yang bermaksud Cahaya yang Terang Benderang mungkin gelaran ini ekoran dari kejadian pancaran cahaya itu. Menurut satu sumber riwayat tradisi Terengganu menyatakan bahawa nama Terengganu juga berasal dari pancaran sinar yang kelihatan dari arah negeri Kelantan. Ketika sinar itu memancar, orang-orang Terengganu berkumpul untuk melihatnya mereka berkata : “terang anu” dan akhirnya menjadi Terengganu” sebagai nama negeri.
Nama Medang Kilatan Saji itu kemudiannnya menjadi Kilatan sahaja dan dari nama ini akhirnya menjadi Kelantan. Nama ini tertera dalam duit emas Kelantan bertarikh tahun 1181 Masihi, ditulis dengan huruf Arab “Kelantan” (K.L.T.N)
Oleh kerana pertikaian-pertikaian dan peperangan-peperangan yang berlarutan dengan Pandya terutama dalam merebut Pulau Sri Lanka, seorang dari Maharaja Sampugita memindahkan ibu kotanya dari Kelantan ke Kota Kalasapura dalam Gangganagara iaitu Perak dalam abad ke-12. Sejak itu, Kelantan telah hilang peranannya sebagai ibu kota sebuah empayar.
Buku Ling-wai Tai-ta yang ditulis oleh Chou Ch’u Fei dalam tahun 1178 dinyatakan bahawa: Raja Fo Lo An dilantik oleh Maharaja San Fo Tsi. Menurut kajian yang terakhir mengenai lokasi negeri Fo Lo An ternyata ia adalah Kota Kuala Berang di Ulu Terengganu. Ini membuktikan bahawa ianya adalah ibu kota Negeri Terengganu pada masa yang silam. Apabila disesuaikan dengan riwayat tradisi data dari catatan China ini membuktikan bahawa Kelantan telah menjadi wilayah yang tidak penting lagi. Ini juga menunjukkan bahawa Maharaja Sampugita yang telah berpindah ke Pantai Barat telah memberi kepercayaan kepada wilayah Terengganu sebagai pelindung Pantai Timur.
Dalam bahagian awal dari abad ke-13, seorang Maharaja Sampugita yang dilahirkan di Gangganagara itu telah membangunkan kembali Empayar Sampugita dan Sri Wijaya yang telah runtuh baik di bahagian Dataran dan Kepulauan. Baginda mempunyai pelbagai gelaran antaranya Brahma, Maharaja Imbang Jaya, Maharaja Mani Jaya, Malim Dewa, Maharaja Bukit Si Guntang. Dari Gangganagara itu, baginda menguasai seluruh Sumatera termasuk wilayah Pusat Sri Wijaya iaitu Palembang. Kemudian menakluk Jawa Barat dan Kalimantan. Kemudian balik kel Kelantan. Dari sini baginda menakluk daratan termasuk Dvaravati, Kemboja dan Champa.
Chao Ju Kua yang menulis dalam tahun 1225 ada menyebut tentang satu daftar nama negara-negara di bawah penguasaan San Fo Tsi iaitu Sampugita terletak dalam kawasan-kawasan yang telah dinyatakan. Ia menyatakan nama Kelantan terletak di bawah Sampugita.
Chao Ju Kua menyebut seluruh negeri Pantai Timur Semenanjung dan Segenting sebagai wilayah Sampugita. Ini memberikan kemungkinan bahawa ketika ia menulis bukunya yang bertajuk Chan Fan Chih dalam tahun 1225 atau ketika ia masih berada di Asia Tenggara sebelum beliau menulis bukunya ini, wilayah Sampugita masih terletak di Gangganagara atau Perak. Chao Ju Kua juga ada menyatakan Kedah yang disebutnya sebagai Chi-T’o dalam hubungan perniagaan dengan Melabar, ia tidak menyatakan bahawa Kedah ini terletak dibawah Sampugita. Juga ia menyebut Sampugita sendiri berniaga dengan Malabar. Ini memberikan gambaran kepada kita bahawa wilayah Pusat Empayar itu mestilah terletak di Pantai Barat Semenanjung.
Dalam buku San Tsa’i Tu hui yang ditulis dalam tahun 1607 adalah merujuk kepada sumber-sumber yang lebih tua dengan meletakkan Fo Lo An iaitu Kuala Berang ibu kota Terengganu tua sebagai terletak sejauh empat hari empat malam pelayaran dari San Fo Si (Sampugita). Juga kedua-dua tempat ini mempunyai hubungan menerusi daratan. Hubungan darat dan laut ini jelas menunjukkan bahawa ianya juga mempunyai hubungan dengan Kelantan ketika Kelantan menjadi pusat Empayar Sampugita.
Maharaja Imbang Jaya atau lebih terkenal dengan gelaran Maharaja Bukit Siguntang mempunyai beberapa orang putera dan puteri. Putera-putera yang terkenal ialah Maharaja Suran yang menurunkan keturunan Raja-Raja Kelantan, Champa, Patani, Kedah dan lain-lain. Raja Sang Sapurba yang menurunkan Raja-Raja Jambi, Tumasik, Melaka dan lain-lain. Seorang puteranya dari gundik bernama Arok menurunkan raja-raja Singasari dan Majapahit di Pulau Jawa.
KELANTAN PURBA : 23 RUJUKAN TENTANG KEWUJUDAN YAWADWIPA
Sebelum ini kami telah nyatakan 4 sumber rujukan kuno yang menyatakan tentang Yawadwipa. Kini kami bawakan pula catatan-catatan dario abad ke-5 hingga abad ke-10 Masihi. Berikut rujukan kuno tentang empayar ini.
No. | SUMBER RUJUKAN | KENYATAAN |
1. | VAYU PURANA (SANSKRIT) | Buku ini disusun dalam zaman Gupta (320 – 647M) yang menyatakan tentang pembahagian kawasan Asia Tenggara yang dikenali dengan Jambudvipa. Kenyataan tersebut berbunyi :“Disana terdapat enam lagi wilayah-wilayah (pradesa) Jambudwipa dalam berbagai bentuk iaitu, Angavidpa, Yamadvipa, Malayadvipa dan Varahadvipa….. Yamadvipa pula adalah penuh dengan lombong-lombong, ada satu bukit disini terkenal dengan nama Dyutiman, sumber sungai –sungai dan emas….” |
2. | BAHMANDA PURANA (SANSKRIT) | Buku ini telah menyatakan terdapat beberapa dvipa dalam Jambudvipa iaitu Yavadvipa, Malayadvipa, Sankhadvipa, Kusadvipa dan Varahadvipa. Yavadvipa telah dinyatakan dalam buku ini sebagai sebuah daerah yang penuh dengan lombong pelbagai jenis permata. Yavadwipa juga mempunyai sebuah bukit yang dikenali sebagai Dyutiman dimana ianya terkandung punca kebanyakkan sungai dan emas.Dalam buku ini juga ada menjelaskan tentang kemunculan kusadwipa tetapi nama Angadvipa telah hilang. R. Braddel ada merujuk kepada pengembara yang bernama Jayaswal dan beliau telah menyatakan bahawa beberapa dvipa lagi terletak disebelah timur Bharatavarsha (India) yang bermaksud kearah Asia Tenggara iaitu : Indravipa, Kaseru atau Kaserumat, Nagadvipa, Ghabastiman, Gandharva dan Varuna. |
3. | MANIMEGALAI (TAMIL) | Catatan dalam buku ini adalah dalam Bahasa Tamil dalam satu syair iaitu Manimegalai menyebut suatu Kota Nagapuram (Nagapura) dalam Savaka-Nadu, iaitu nama Yavadvipa dalam Bahasa Tamil. Dua orang Raja Nagapuram dikenali sebagai Bhumicandra dan Punyaraja yang didakwa dari keturunan Indra. |
4. | ARYABHATIYAM | Ianya adalah sebuah buku yang ditulis oleh seorang ahli astronomi bernama Aryabhata yang lahir pada 476Masihi. Dalam bahagian enam buku ini ia menyatakan :“Bila matahari naik di Ceylon, ia turun di Kota Kebahagiaan yang terletak dikepulauan Keberuntungan (Pulau Ferro dalam Kepulauan Canaries) 180 darjah garis bujur, di sebelah barat Ceylon. Ia tengahari pada Yavakoti (Ibu Kota Yava) dan tengah malam dalam negeri orang-orang Rom (Constantinople) |
5. | SURYA SIDDHANTA | Menurut Nakula yang merujuk kepada B.R Chatterji dalam buku History of Indonesia buku ini adalah merupakan karya astronomi yang mengkaji keadaan abad ke-5 yang diterbitkan dalam abad ke-11 Masihi. Dalam buku tersebut ada satu petikan yang berbunyi:“Pada separuh bulatan bumi, ke arah timur, dalam tanah Badrashva (penjuru timur bumi) ialah negeri yang terkenal, Yavakoti dengan dinding-dinding dan pintu-pintu gerbang emas”. |
6. | FA – SHIEN | Fa-Shein adalah seorang sami Budha China yang mengembara ke India melalui jalan darat yang dikenali sebagai laluan sutera untuk mendalami agama Budha dalam tahun 399 Masihi. Beliau telah kembali semula ke China melalui jalan laut pada 413 Masihi. Pelayaran beliau merentasi laut Asia Tenggara dan beliau telah mencatat pengalaman pelayaran pulang beliau itu seperti berikut:a) Ia bertolak dari Ceylon dengan belayar bersama-sama 200 orang kearah Timur dengan angin yang baik selama 2 hari.b) Kemudian ribut telah melanda selama 13 hari dan malam, kapal telah bocor dan mendarat di sebuah pulau.c) Setelah ribut reda, pelayaran telah diteruskan mengikut arah sebenar, namun ribut menyerang lagi berserta kabus yang tebal hingga kapal hilang arah. Lanun-lanun yang mengikut arus angin juga menganggu kapal ini. Tidak lama kemudian ribut reda semula.
d) Kapal dapat dikemudi dengan arah yang betul dan belayar selama 90 hari, mereka telah tiba di sebuah negeri yang bernama Yeh-Po-Ti. Di sini Fa Shien telah tinggal selama 5 bulan. Beliau telah melihat kesesatan dalam agama Brahma berkembang disitu manakala agama Budha berada dalam keadaan yang menyedihkan. e) Dari Yeh-Po-Ti (Yavakoti), ia belayar dengan kapal lain juga membawa 200 orang penumpang ke Canton pada hari ke-16 dalam bulan ke-4. f) Untuk sampai di Canton, kapal itu belayar kearah timur laut. g) Dalam pelayaran ini, penumpang-penumpangnya telah membawa bekalan yang normal untuk 50 hari. h) Tetapi kerana dihalang oleh ribut, kapal tersebut telah belayar selama 82 hari, lalu sampai di sempadan wilayah Chang-Kwang (Kio-Chou sekarang). |
7. | KAO SENG CHUAN | Dalam buku ini ada dinyatakan tentang Cho-po atau Shep’o yang sama maksud dengan Yava atau Jawa dalam hubungannya dengan kedatangan Gunavarman, seorang mubaligh agama Budha. Berikut kenyataan dari buku tersebut:a) Gunavarman yang disebut dengan K’ieou-na-pa-mo adalah seorang dari Kasta Kesatria dan berketurunan Raja Ki-Pin (Kashmir). Tetapi sejak dari zaman muda baginda telah menumpukan perhatian kearah agama.b) Sewaktu berusia 30 tahun, baginda telah ditawarkan menaiki takhta, namun baginda telah menolak tawaran tersebut dan telah mengembara ke Cho-po (Jawa) dimana agama Brahma sedang berkembang maju.c) Apabila beliau sampai di Cho-Po, baginda disambut oleh Bonda kepada Raja Cho-Po yang telah bermimpi mengenai kedatangannya. Pada mulanya Bonda kepada Raja Cho – Po telah memeluk agama Budha, kemudian dengan nasihat bondanya, Raja itu sendiri telah memeluk agama Budha.
d) Tidak lama setelah pertukaran agama keluaraga DiRaja ini, tentera-tentera negara jiran telah menyerang Cho – Po (Yava). Serangan ini berjaya dipatahkan, tetapi Raja telah menderita akibat terkena sebatang anak panah dan kecederaan baginda telah diubati oleh Gunavarman hingga sembuh. Semenjak dari itu, Raja telah menjadi semakin taat hinggakan baginda sanggup turun dari takhta untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada agama. Para menteri telah memujuk baginda agar tidak turun dari takhta, baginda Raja telah meletakan 3 syarat yang telah diterima semuanya oleh penduduknya dan salah satu daripada syarat itu adalah semua rakyat dalam negaranya harus menurut apa yang diajarkan oleh Gunavarman. Kemudiannya, seluruh negara ini telah menganuti agama Budha. e) Pada 424Masihi, sami-sami Budha dari China datang menemui Gunavarman dan mejemput beliau melawat negara mereka. Beliau telah mengikuti rombongan ini pada tahun itu juga dengan belayar ke Canton dengan sebuah kapal yang bernama Tcou-Na-T’i (Hindu-Nandi) dan tinggal di China hingga beliau meninggal di Kota Nanking pada 431. |
8. | SUNG SHU | Buku ini disusun oleh Shen Yao (414-512 Masihi) dan beliau ada menyatakan nama She-p’o-Chou (Yavadvipa) dalam hubungan negara Ho-lo-tan seperti dalam terjemahan Hsu-Yun-Ts’iao dalam Notes on Tan-Tan dalam JMBRAS, Jilid xx, Bahagian 1 (1947) yang berbunyi:a) Dalam Sung Shu, Jilid XCVII dinyatakan negara Ho-lo-tan menguasai atas She-p’o-Choub) Jilid V pula menyatakan “Negara Kiou-lo-Tan di She-p’o-Chou menghantar ufti dalam bentuk hasil-hasil tempatan.Buku ini juga ada menyatakan tentang She-p’o (Yava) yang dihubungkan dengan “p’o-ta” iaitu “She-p’o-p’o ta” sebuah negara sezaman dengan Ho-lo-tan. Pernytaan dalam buku tersebut adalah seperti berikut:
“Dalam tahun 435, Raja negeri Dja-va-da bernama Sri Pa-da do-a-la-pa-mo menghantarkan utusan dengan mempersembah sepucuk surat dan beberapa hadiah.” Penulis-penulis yang kemudian menyebut Dja-va-da dengan nama Shep-p’o-p’o-ta dan Sri Pa-do-a-la-pa-mo serta Che-li-po-ling-kia-mo |
9. | PRASASTI KOTA KAPUR (BANGKA) | Prasasti Srivijaya yang dipahat di Kota Kapur, Pulau Bangka pada 686 Masihi ada menyebut Bhumi Javatidak lagi merujuk kepada Yavadvipa iaitu Pulau Jawa sekarang ini. Prasasti itu menyebut pada bahagian akhir sebagai suatu amaran kepada penduduk Pulau Bangka supaya jangan menderhaka kepada Srivijaya ketika tentera Srivijaya hendak menyerang Bhumi Jawa. Kenyataan prasasti tersebut adalah seperti berikut:“Sumpah ini nipahat di velana yam vala Srivijaya kalivat manapik yam bhumi java tida bhakti ke Srivijaya Maksudnya:
“Sumpah ini dipahat ketika bala tentera Srivijaya hendak menyerang Bhumi Jawa yang tiada berbakti kepada Srivijaya.”
|
FAKTA-FAKTA PENTING MENGENAI YAVADVIPA ATAU SINGKATANNYA YAVA DAPAT DIKUMPULKAN DARI ABAD PERTAMA HINGGA ABAD KE-7 MASIHI. LOKASI EMPAYAR INI TIDAK DAPAT MERUJUK TERUS KEPADA PULAU JAWA SEKARANG.
CATATAN ABAD KE-8 NAMA YAVADVIPA INI TELAH MENGGAMBARKAN LOKASINYA BERBEZA DARI PULAU JAWA SEKARANG INI.
Alhamdulillah, selesai juga kami membawakan semula maklumat tentang kerajaan Yavadvipa ini mengikut penelitian Nakula. Kami hanya boleh ringkaskan disini bahawa Yavadvipa ini telah mengalami proses evolusi yang panjang. Sepanjang jangkamasa ini juga Empayar Yavadvipa ini sendiri telah berubah beberapa antaranya Srivijaya dan Langkasuka.
Selepas ini, ikuti pula catatan abad ke-11 hingga abad ke-14 tentang empayar yang pernah wujud di Asia Tenggara ini. Lebih kurang 18 catatan yang ada. Selamat Membaca.
PESANAN DARI KPSK
Menyambung artikel kami sebelum ini iaitu berkenaan rujukan-rujukan yang menyokong kewujudan empayar Yawadwipa. Sebelum itu, kami ingin menjelaskan kenapa Allahyarham Ustaz Abdullah Mohamed (Nakula) begitu menekankan aspek pengkajian terhadap Yawadwipa. Untuk itu, kita perlu menyoroti zaman ketika beliau menghasilkan artikel mengenai Yawadwipa dalam tahun-tahun 70an. Ketika ini, kebanyakkan negara di Asia Tenggara adalah negara baru merdeka dari imperialis Barat.
Ketika itu, Dunia Barat memandang masyarakat Asia Tenggara ini sebagai entah dari mana, terutama negara Malaysia yang baru merdeka 20 tahun. Tidak dinafikan tidak sedikit Sejarawan yang muncul ketika itu, tetapi jarang sekali Sejarawan yang memperjuangkan Sejarah Kelantan yang sebenar. Nakula telah tampil kehadapan untuk mempertahankan Sejarah Kelantan ini, dan beliau telah banyak menghasilkan artikel tentang Kerajaan Melayu kuno ini dengan perspektif kepada Kelantan.
Jika kajian beliau adalah kajian picisan, sudah pasti panel-panel warisan Kelantan ketika itu seperti Prof. Khoo Kay Kin namun ianya telah diterbitkan oleh Perbadanan Muzium Kelantan.
Pada masa kini, bertaburan artikel seperti yang sedang kami hasilkan ini di dunia maya. Namun, dari segi professional dan akademiknya ia masih tidak boleh diiktiraf mempunyai impak dari sudut ilmiah kerana artikel yang diterbitkan diblog-blog tidak mempunyai panel yang menilai hasil sebenar artikel tersebut.- nui nn 90 kajian yang lebih mendalam dengan menyertai Persatuan Sejarah yang rasmi.
Nakula, dalam satu artikel beliau telah berpesan…..”untuk memahami rahsia-rahsia dalam riwayat tradisi tidak dapat dihuraikan dengan mengkaji pada hitam atas putih sahaja……………
kami andaikan para pembaca semua memahami apa pesanan yang disampaikan oleh Nakula dan kami tidak mahu lagi mengulas akan hal ini, terpulang kepada anda semua untuk menilai.
Kami hanya menyampaikan semula pernyataan yang terakam dalam artikel-artikel yang dihasilkan oleh Nakula ini dengan niat untuk memperhangatkan kembali maklumat yang semakin suram dimamah usia. Pada Anak Kelantan yang berminat untuk mengkaji sejarah Negeri Kelantan, kita menasihatkan agar anda mencari sumber yang dihasilkan oleh anak Kelantan bagi mengelakkan unsur-unsur berat sebelah dalam menghasilkan penulisan. Jika anda terus merujuk kepada sumber luar, maka sumber-sumber dari pengkaji Kelantan akan menjadi pudar kerana hanya Anak Kelantan dan keturunannya yang mempunyai sifat bangga diri yang menebal….. Namun, terpulang kepada anda untuk memilih jalan dan cara yang tersendiri yang penting niat kita.
Sekian.
Wallahualam. –Admin Pasir Mas