Category Archives: Kesultanan

YAWADWIPA : KERAJAAN PURBA KELANTAN DALAM PELBAGAI SUMBER RUJUKAN


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat kaum Muslimin yang dirahmati Allah.

Syukur kehadrat Illahi kerana dikurniakan kesempatan untuk kami berkongsi dengan anda tentang kerajaan Melayu Kelantan Purba.

Kita sedia maklum, bahawa sebelum ini kami telah mengupas sedikit sebanyak tentang Yawadwipa. Namun ianya masih menimbulkan keraguan buat pengamat sejarah. Kami juga mungkin dipandang enteng kerana telah menolak beberapa sumber penting dalam kajian Kerajaan Melayu Purba.

Sejujurnya, kami menghasilkan artikel ini berdasarkan artikel dan monograf yang dihasilkan oleh Allahyarham Ustaz Abdullah bin Mohamed (Nakula) yang diterbitkan oleh Perbadanan Perpustakaan Muzium Kelantan. Tulisan Nakula menjadi sumber inspirasi kami yang penting, kerana pengkaji dan penyelidik kebanyakkannya merujuk kepada hasil penyelidikan Nakula ini.

Penghasilan artikel kami juga sebolehnya ringan dan mudah difahami dengan membuang unsur-unsur mistik dan misteri yang boleh memeningkan pembaca.

Namun, kami tidak nafikan ada fakta dan kenyataan yang harus dikaji dengan lebih mendalam kerana usia tulisan Nakula ini telah lama tetapi belum masih lapuk ianya boleh dijadikan asas penyelidikan. Terpulang kepada saudara dan saudari untuk mencerna dan cerakin artikel yang kami hasilkan ini.

PENDAHULUAN

Sebuah empayar besar telah bangkit di rantau Asia Tenggara dalam tahun 50 – 100 Masihi iaitu Yawadwipa namun ianya satu isu yang mencetuskan kontroversi ekoran kekurangan fakta bertulis. Ianya harus dijalankan berdasarkan kepada kerja lapangan dan juga petunjuk-petunjuk dari riwayat tradisi.

Penyelesaian untuk meredakan kontroversi ini, Nakula telah mengkaji Kerajaan Yawadwipa ini berdasarkan kepada beberapa likungan zaman tertentu bagi mengelakkan pertindahan fakta.  Terdapat empat sumber awal yang menyokong kewujudan Yawadwipa iaitu:

  1. Kenyataan dari buku Ramayana oleh Valmiki
  2. Kenyataan dari buku Geographia oleh Claudius Ptolemy
  3. Kenyataan dari buku Hou Han Shu
  4. Kenyataan dari buku Saddharmasmrityupasthana-sutra

KENYATAAN DARI RAMAYANA

Terdapat beberapa pendapat menyatakan usia buku Ramayana ini, pendapat dari K.A. Nilakanta Sastri menyatakan bahawa buku ini adalah satu zaman dengan buku Kanun Pali, Niddesa dan ianya dihasilkan dalam awal abad pertama masihi. Dalam buku Ramayana ini terdapat beberapa fakta mengenai Yawadwipa dalam bahagian syair keempat dari Ramayana naskhah Bombay, iaitu ianya membicarakan tentang arahan dari Sugriwa (Hanuman) kepada kumpulan keranya supaya pergi keseluruh pelusuk dunia untuk mencari Sita Dewi yang hilang. Syair tersebut berbunyi:

“Yatnavanto Yavadvipam,
Saptarajyopasobhitam,
Suvarnarupyakadvipam,
Suvarnakaramanditam,
Yavadvipam-antikaramnya,
Sisiro nama parvatah,
Divam sprsati srngena,
Devadanava-sevitah.”

Maksudnya:
“Walau bagaimanapun, lawatilah Yavadvipa,
Tujuh kerajaan menjadi hiasan,
Itulah tanah emas dan perak,
Banyak berlombong bertukang emas,
Disebelah sana Yavadvipa,
Terletak gunung bernama Sisiro,
Puncaknya menyapu awan
Dikunjungi deva-danava”.

KENYATAAN DARI GEORAPHIA

Buku ini ditulis oleh Ptolemy dalam tahun 150 Masihi. Ia dinyatakan bahawa penulisan bukunya ini berdasarkan kepada Marinos dari Tyre yang telah diperbaiki dan ditambah baik dengan mengambil maklumat lebih lanjut yang dikumpul oleh beliau sendiri. Buku Marinos itu pula dihasilkan pada 120 Masihi dan ia dihasilkan berdasarkan buku seorang nakhoda yang juga pengembara bernama Alexander yang dihasilkan pada tahun 75 Masihi. Buku Alexander dan Marinos ini telah hilang dan hanya diketahui melalui dari petikan-petikan yang dibuat oleh Ptolemy dalam buku Geographia. Berikut petikan Ptolemy mengenai Yawadwipa:

  1. Semenanjung disebut dengan nama “Chryse Chersonesos” yang bermaksud “Semenanjung Emas” dan beliau telah memperihalkan secara agak terperinci nama kota-kota, sungai-sungai dan gunung-gunung yang ada di Asia Tenggara ketika itu.
  2. Kesebelah Selatan dari Chryse Chersonesos ini terletak suatu pulau bernama Labadiou yang bererti Pulau Jelai.
  3. Ibu kotanya bernama Argyre yang bermaksud Kota Perak yang terletak di hujung barat Labadiou dan dibandingkan dengan Chryse Chersonesos, ibu kota ini terletak di sebelah timur.
  4. Labadiou adalah satu kawasan yang subur dan banyak menghasilkan emas.

KENYATAAN DARI HOU HAN SHU

Buku Hou Han Shu ini disusun dalam abad ke-5 Masihi, dalam buku ini terdapat beberapa fakta penting:

  1. Dalam tahun 132 Masihi, suatu perwakilan telah tiba di negeri China dari tempat bernama Ye-tio.
  2. Ye-tio ini terletak disebelah sana sempadan Jih-nan.
  3. Perwakilan ini dihantar oleh rajanya bernama Tio-pien dan menerima hadiah-hadiah balasan daripada Maharaja China terdiri dari satu mohor emas dan pita berwarna ungu.

KENYATAAN DARI  SADDHARMASMRITYUPASTHANA-SUTRA

Buku ini adalah mengenai agama Budha dalam bahasa Sanskrit. Ianya telah diterjemah ke dalam bahasa China dalam tahun 539 Masihi oleh seorang Brahman yang datang dari Benares.  Menurut Sharat Chandra Das, Asvagosha ada menulis satu tafsiran mengenai sutra ini. Ini bermakna usia sutra ini adalah seusia dengan Zaman Kanishka pada akhir abad Pertama Masihii. Dalam sutra ini mengandungi satu bahagian petikan yang menggambarkan tentang Jambuvidpa yang bermaksud kepada Benua Asia Tenggara.

Pesanan dari KPSK:

Sebelum kami melangkah lebih jauh, ingin kami nyatakan bahawa Empayar Yawadwipa ini adalah diasaskan oleh  Sri Kripawarman atau lebih dikenali dengan nama Wan Pa di Medang Gana yang terletak di Kelantan.

Dari sini Wan Pa telah melakukan ekspedisi menakluk seluruh Semenanjung. Seterusnya, kami akan paparkan sebanyak 30 rujukan dari sumber Hindu, China, Arab dan Eropah tentang Empayar Yawadwipa ini.

KELANTAN PURBA 2 : EMPAYAR SRIWIJAYA


ZAMAN EMPAYAR SRIWIJAYA

PENDAHULUAN

Syukur ke hadrat Illahi kerana diberikan kesempatan kepada kita untuk berkongsi dengan anda semua tentang Empayar Sriwijaya. Empayar ini tersangat besar hingga tidak dapat digambarkan oleh nenek moyang kita. Namun begitu, kajian demi kajian dilakukan hinggalah kita didedahkan dengan penulisan Ustaz Abdullah Mohamed (Nakula) berkenaan kerajaan kuno ini.

Kini, ramai pengkaji sejarah tidak mahu mengakui Kelantan adalah pusat pentadbiran Empayar Sriwijaya ini. Namun, kita tidak mahu mempersalahkan sesiapa. Sudah menjadi tanggungjawab anak negeri untuk membuka kisah nenek moyang mereka untuk tatapan generasi seterusnya.

Tanpa melengahkan masa lagi, mari kita selongkar tentang Empayar Sriwijaya.

RAKTAMRITTIKA

Dalam entri sebelum ini kita akan mengisahkan tentang Yawadwipa dan seterusnya wujud nama Raktamrittika, dan kisah seterusnya berkembang dari negera Raktamrittika ini.

Pada abad ke-7 dari nama Raktamrittika ini muncul nama baru iaitu Sri Wijaya Mala yang dinamakan oleh seorang Maharaja yang bergelar Sri Jayanaga. Nama asal baginda adalah Prabhasadharma namun baginda lebih terkenal dalam riwayat tradisi Kelantan dengan gelaran Raja Ahmad atau Tok Raja Jawa.

Selain itu, Baginda juga terkenal dengan gelaran Maharaja Gegar Alam, Raja Marong Mahawangsa, Maharaja Alif, Maharaja Benua Rom, Prabhu Wisnu Dewa dan lain-lain nama lagi. Baginda adalah cicit kepada Gautama yang memberontak kepada Fu-nan dan membina negara baru yang dikenali sebagai Raktamrittika itu.

Ibu Kota Sriwijaya Mala bernama Valai Penjuru . Pada tahun 667Masihi, baginda telah menakluk seluruh semenanjung dan mengisytiharkan nama empayarnya sebagai  Sriwijaya. Kemudian baginda telah menakluk kepulauan Sumatera dan seluruh Asia Tenggara. Nama Yawadwipa dihidupkan kembali dan ianya terpakai untuk semenanjung ketika itu.

Lokasi pusat pentadbiran Sriwijaya ini telah diulas dan dikaji oleh ramai penyelidik, namun pernyataan dari J.L. Moens yang telah mengkaji lokasi pusat pentadbiran Sriwijaya ini dan beliau telah mendapati pusat pentadbiran Sriwijaya terletak di Pantai Timur Semenanjung. Pernyataan beliau berasaskan catatan I-Ching dan juga catatan 2 orang sami Budha yang dalam perjalanan ke India iaitu Wu Hing dan Che Hong. I-Ching dalam pelayaran beliau dari China ke India pada tahun 671M telah singgah di Negeri Malayu yang ketika itu mempunyai pemerintahan mereka sendiri.

Kami akan mengulas lebih lanjut tentang pencarian lokasi sebenar pusat pentadbiran Sriwijaya dalam entri berikutnya.

KEKUASAAN SRI JAYANAGA

Tahun 673, Sri Jayanaga telah memakai gelaran Sri Maharaja Sri Wijaya. Baginda telah berjaya menakluk Segenting, Dvaravati (Thailand-Kemboja- Laos), juga Arimadana (Myanmar) berjaya ditakluk.

Dalam tahun 683 baginda telah menakluk sumatera selatan melalui Kedah, dan ini ada tercatat dalam prasasti Kedukan Bukit yang ditemui di sekitar Palembang. Dalam prasasti ini dinyatakan bahawa Baginda telah menyerang kawasa Palembang dengan 20,000 tentera dan ini membuktikan bahawa Palembang bukan pusat asal Sriwijaya.

Dari Palembang, baginda menyerang Malayu yang terletak di Jambi dan menguasai seluruh Sumatera. I-Ching dalam pelayaran pulang beliau dari India ke China pada 685M telah mencatatkan bahawa Negeri Malayu sekarang telah menjadi Sriwijaya.

Setelah berjaya menakluk Kota Malayu, Sri Maharaja Sriwijaya telah menghantar puluhan utusan kepada semua negara-negara yang terdapat di kepulauan dengan memberi kata dua iaitu “Bayar Ufti atau Perang”. Semua negara telah tunduk tanpa perang kecuali Kalingga yang terletak di Bumi Jawa iaitu Jawa Timur dan Jawa Tengah.

Prasasti Kota Kapur di Pulau Banka bertarikh 686 masihi adalah amaran kepada penduduk supaya jangan menderhaka ketika baginda menyerang Bumi Jawa dan prasasti ini ditulis semasa serangan pertama Sriwijaya keatas Kalingga.

Pada serangan kali ketiga ke Kalingga, Maharaja sri Wijaya telah gugur dalam perang yang berlaku di Muka Selat Madura dalam tahun 692 Masihi. Dalam peperangan ini, angkatan tentera Kalingga telah dapat ditewaskan, namun angkatan Sriwijaya tetap pulang ke Sumatera ekoran kemangkatan Maharaja Sri Wijaya.

Maharaja Sri Wijaya ini sebenarnya sering ditemani 2 tokoh besar selain dari angkatan perangnya. Mereka ialah Permaisuri Baginda iaitu Dewi Jayanaga yang digelar Puteri Saadong 1, manakala seorang tokoh lagi ialah adinda Baginda, iaitu Shakyakirti yang juga penasihat kerohanian baginda,beliau mempunyai beberapa gelaran antarannya Kasawsiddhi yang kemudiannya terkenal dengan gelaran Awang Selamat.

Ketika serangan ini dilakukan Shakyakirti tidak turut serta kerana beliau telah pulang ke negara Sriwijaya Mala dan terus ke Khemra Hilir untuk mematahkan pemberontakan yang berlaku disana.

KEJATUHAN EMPAYAR SRIWIJAYA

Setelah kemangkatan Maharaja Sri Wijaya, empayar ini telah berpecah dua antara putera baginda. Ianya berpecah mengikut geografi, dimana bahagian daratan dan bahagian kepulauan. Bahagian daratan dirajai oleh Sri Maharaja Dwipantra dan terkenal dengan gelaran Maharaja Dipang dan memerintah dari Sriwijaya Mala (Kelantan)

Bahagian kepulauan pula dirajai oleh Putera kedua iaitu Maharaja Dhiraja, memerintah dari Kota Matajap berhampiran Kuala Sungai Musi, Sumatera. Baginda juga adalah nenek moyang orang-orang Minangkabau yang tinggal di Pantai Barat Sumatera, juga nenek moyang orang Negeri Sembilan.

Empayar Sriwijaya di bahagian daratan telah mengalami perpecahan yang lebih besar dengan berlakunya pemberontakan dari Khemra Hilir dan Khemra Hulu, Dvaravati dan Arimadana. Hanya tanah segenting dan semananjung sahaja yang taat. Pada ketika itu, terdapat pertikaian telah berlaku dengan empayar kepulauan.

MEDANG BHUMI

Ketika zaman krisis ini, nama Sriwijaya Mala telah diubah nama kepada Medang Bhumi dan ianya kekal hingga beberapa abad kemudiannya. Sejarah Melayu ianya disebut dengan nama Amdan Negara.

Ketika itu, empayar ini mengalami peralihan zaman dan ianya telah melahirkan dua nama yang berbeza iaitu empayar daratan telah mengubah namannya kepada Tanah Sri Indah Sekebun Bunga manakala empayar kepulauan ini tetap dengan nama Sriwijaya. Zaman inilah berlakunya perpindahan nama Sriwijaya ke Sumatera.

EMPAYAR TANAH SRI INDAH SEKEBUN BUNGA

Empayar Sriwijaya yang runtuh ekoran kelemahan pemerintahan telah dibangun semula oleh cucu Maharaja Sri Jayanaga iaitu Jaya Sinha dan bergelar sanjaya atau Sanjaya putera, sebenarnya beliau mempunyai lebih dari 100 gelaran. Gelaran yang paling terkenal kepada beliau di Kelantan adalah Dewa Muda.

Berpusat dari Medang Bhumi, Sanjaya  yang berpangkat Raja Muda ketika itu telah diarahkan oleh bapa saudaranya iaitu Sri Maharaja Dwipantara sejak dari 713 masihi untuk menawan semula Khemra Hilir (Kemboja), Wentan (Vietnam – Laos), Dvaravati (Thailand) dan Arimadana (Myanmar). Kemudian baginda pulang semula ke Medang Bhumi dalam tahun 725 Masihi iaitu setelah 12 tahun menjalankan ekspedisi penaklukan tersebut.

Baginda pulang ke Medang Bhumi, ketika itu diperintah oleh kakaknya Sri Maharaja Putera. Tiga tahun berehat di Medang Bhumin, Raja Muda Sanjaya telah keluar lagi pada tahun 728M menuju kearah kepulauan untuk menyatukan semula negara-negara yang terpisah.

Angkatan Sanjaya telah menakluk Kalingga, kemudiannya baginda menawan kepulauan Nusa Tenggara dan pulang semula ke Kalingga pada 732M. Setelah itu, baginda telah menakluk Jawa Barat dan menyerang Wilayah Pusat Sriwijaya yang terletak di Sumatera Selatan yang diperintah oleh sepupunya. Akhirnya Sanjaya telah berjaya dalam misinya dengan menakluk seluruh pulau sumatera.

Baginda pula semula ke Medang Bhumi dengan membawa kemenangan menakluk kepulauan sumatera.  Baginda tidak lama berada di Medang Bhumi, kerana selepas itu ia telah keluar lagi untuk menakluk Pulau Kalimantan. Semasa berada di Kalimantan, baginda telah menghantar adindanya Prithindra untuk menakluk Champa.

Pada tahun 767M Sanjaya telah mengepalai angkatan  bersenjatanya dari Medang Bhumi untuk membebaskan Orang Viet yang meminta bantuan sanjaya untuk mematahkan pendudukan tentera China di wilayah Tongking. Dalam serangan ini, Sanjaya telah berjaya menawan Gio-Chi (Hanoi) tetapi ia telah dikalahkan oleh angkatan China dalam serangan balas dengan angkatan tentera yang lebih besar.

Setelah angkatan Sanjaya ditumpaskan oleh China, mereka telah berundur dan merempuh kepulauan Sulawesi dan akhirnya dapat menawan Kepulauan Danu (Filipina). Penaklukan kepulauan Danu dalam Empayar Tanah Indah Sri Sekebun Bunga telah melengkapkan seluruh Jagat Tanah Jawa ini iaitu Asia Tenggara. Pada tahun 799M, Sanjaya telah diangkat menjadi Sang Ratu Sanjaya atau Maharaja Sanjaya setelah beliau pulang semula ke Medang Bhumi.

4 tahun kemudian, iaitu pada 803M Sanjaya telah melancarkan Program Penaklukan Dunianya. Bagi mencapai tujuan ini, Sanjaya telah bertolak ke Pulau Madagaskar melalui Kuala Sungai Musi melalui Acheh dengan merentasi Lautan Hindi dan beliau telah berjaya menakluk pulau itu.

Dari Madagaskar, angkatan Sanjaya telah menyerang Benua Afrika dan Sriwijaya telah berjaya menawan Pantai Timur hingga ke Pantai Barat Benua Afrika itu. Ekspedisi perluasaan kawasan ini telah terakam dalam riwayat tradisi dan cerita wayang kulit yang dinakan Cerita Panji dalam wayang Melayu. Dalam Cerita Panji ini, peperangan dengan suku Afrika ini biasanya digambarkan sebagai peperangan dengan bangsa kera, lutung, pekakoh dan kiuman.

Dalam episod peluasan kuasa ini, Sanjaya telah menjadikan Pulau Madagaskar sebagai pusat kawalan pemerintahannya. Setelah berjaya menawan Afrika, angkatan Sanjaya telah membuat satu lawatan ke Kota Baghdad dan membuat pertemuan dengan Khalifah al-Amin yang disebut dalam riwayat tradisi dengan gelaran Sri Maharaja Kusumabhadra. Selebihnya tentang hubungan Sriwijaya dengan Dunia Arab akan kita kupas dalam entri berikutnya.

Dari Kota Baghdad, angakatan Sanjaya telah bertolak pulang ke Asia Tenggara mengikut arah Timur, sambil itu angkatan Sanjaya ini telah menyerang benua India dan menaklukinya. Pada mulanya mereka telah menyerang Chera (Malabar) yang terletak di Pantai Barat India. Akhirnya, Sanjaya berjaya menumpaskan semua kerajaan yang terkenal di Benua kecil India terutama negara Chola yang kemudiannya menyerang semula Sriwijaya yang ketika itu berpusat di Kedah.

Akhirnya Sanjaya telah pulang berehat ke Medang Bhumi. Semasa berehat, telah timbul hasrat beliau untuk mencari tempat matahari terbit iaitu dari barat dan orang ketika itu menggelarkan benua tersebut sebagai Kusadwipa iaitu Benua Amerika sekarang ini yang ketika itu dikuasai oleh Bangsa Maya.  Ketika itu Sanjaya telah berumur 130 tahun.

Sebagai merealisasikan usaha ini, Sanjaya telah mengadakan lawatan ke seluruha Jagat Alam Jawa untuk membentuk angkatan tentera dan usaha ini telah dilakukan selama 2 tahun. Setelah berjaya mengumpul bala tentera, Baginda Sanjaya telah pulang semula ke Medang Bhumi. Tidak lama setelah itu, baginda telah jatuh mangkat pada tahun 829M.

Sebelum kemangkatan, Baginda telah memesan agar empayar yang dijajah angkatan perangnya dinamakan Sampugita

 

Sila ikuti kisah selepas ini, Zaman Empayar Sampugita

KELANTAN PURBA 1 : EMPAYAR YAWADWIPA


KELANTAN

PENDAHULUAN

Negeri Kelantan adalah salah sebuah Negeri Persekutuan dalam Negara Malaysia. Negeri Kelantan dan rakyatnya telah lama mengalami pelbagai pahit manis dalam kehidupan.

Umum mengenali Kelantan sebuah negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang bersempadan dengan Thailand adalah sebuah Negara miskin dan mundur dari segi insfratruktur dan ekonomi. Rakyat Malaysia melihat Kelantan sebuah negeri yang melahirkan ramai rebellion namun bukanlah hingga menjadi fundamentalist.

Sejarah Malaysia melihat Kelantan sebagai sebuah negeri yang azali lagi dikuasai oleh pembangkang semenjak sebelum merdeka lagi. Namun itulah hakikatnya dengan kini ditadbir oleh seorang Menteri Besar yang telah berkuasa lebih dari 20 tahun.

Kami ingin menyeru rakyat Malaysia untuk mendekati masyrakat Kelantan dengan lebih dekat dengan mengenali Sejarah Kelantan itu sendiri.

KELANTAN PURBA

Kelantan mempunyai sejarah yang lama dan tua, tidak dinafikan negeri-negeri lain mempunyai sejarah yang panjang dan juga rumit. Namun, kajian kami hanyalah tertumpu pada aspek negeri Kelantan sahaja dengan mengambil rujukan dari kajian dan penulisan tentang sejarah Kelantan. Kami tinggalkan sejarah negeri lain untuk dibongkar sendiri oleh anak negeri masing-masing.

Berbalik kepada persoalan pokok, Nakula dalam monografnya telah menyatakan bahawa Kelantan adalah sebuah negeri yang berkembang dan runtuh beberapa kali dalam sejarah dan sejak dari zaman purba lagi ia menjadi sebuah pusat pentadbiran oleh empayar besar ketika itu. Namun, kesan tinggalan empayar-empayar ini telah musnah akibat bencana alam dan juga serangan dari negara musuh kerana itu berlakunya kesilapan pada para pengkajinya.

Berikut disenaraikan 7 zaman yang berkisar di Kelantan[1]:

  1. Zaman Empayar Jawadwipa
  2. Zaman Empayar Sriwijaya
  3. Zaman Empayar Sampugita
  4. Zaman Empayar Jawaka-Malayur
  5. Zaman Empayar Majapahit
  6. Zaman Negara Patani
  7. Zaman Kelantan Merdeka

Zaman Empayar Jawadwipa

Ribuan tahun dahulu dikatakan Kelantan bernama “Medang Kamulan” sama erti dengan “Medang Permulaan” yang membawa maksud “Teras (kayu) medang”. Ianya adalah tempat lahirnya dewa-dewa dan dewi-dewi dari Alam Kayangan dan memegang peranan penting dalam Sejarah Asia Tenggara, Sejarah Jepun, China dan India.

Menjelang abad pertama, ia bernama Medang Gana dan nama ini kekal hingga abad ke-5. Pada abad pertama masihi Raja Medang Gana bergelar Sri Kripawarman atau disebut juga sebagai Wan Pa. Watak ini dalam buku Nakula telah menjadi pengasas keluarga DiRaja Kelantan yang paling lama dalam sejarah dengan berterusan hingga awal abad ke-17.

Wan Pa mempunyai dua orang saudara yang terkenal iaitu Maliniwarman (Wan Malini) dan seorang lagi bernama Kaundinyawarman (Wan Kaundinya). Wan Kaundinya ini adalah pengasas kepada negara Gunung yang terletak di Kemboja dengan catatan China merujuka negara ini sebagai Fu-nan yang bermaksud Gunung.

Wan Pa adalah seorang pemerintah yang hebat, beliau telah berjaya menakluk seluruh negara dalam semenanjung dan menggelarkan bangsa yang mendiaminya dengan nama Jawa dan memberi nama tanah semenanjung menurut nama bangsa itu sebagai Jawadwipa atau Yawadwipa yang bererti Kawasan Jawa atau Tanah Jawa. Nama ini terpakai untuk seluruh Asia Tenggara kerana Wan Pa telah menakluk seluruh Nusantara dan ianya kekal untuk beberapa abad. Kini nama ini hanya dipakai oleh Pulau Jawa sahaja.

Kejatuhan Jawadwipa

Pada abad ke-3, empayar Jawadwipa telah runtuh akibat diserang oleh Funan dan terus berada dibawah penguasaan Funan. Pada abad ke-5, Kelantan dikenali sebagai Kalatana yang bermaksud Tanah Kala hal ini diperkukuhkan dengan catatan China yang merekod Kelantan dengan nama Ho-Lo-Tan atau Kou-lo-Tan. Manakala dalam buku Sung Shu yang disusun oleh Shen Yao (414-512) dinyatakan Negara Ho-Lo-Tan menguasai atas She-p’o-chou yang bermaksud Negara Kalatana menguasai atas Yawadwipa.

Pertengahan abad ke-6, nama Kalatana ini berubah apabila seorang rajanya yang bernama Gautama dari Sri Kripawarman memberontak terhadap pemerintah Gunung (Fu-Nan) dan berhasrat membina kota yang lebih strategic untuk menangkis serangan dari Maharajanya. Beliau telah memindahkan ibu kotanya kearah ulu Kelantan yang dilindungi oleh bukit bukau semulajadi yang kaya dengan emas. Gautama telah menggelarkan negeri barunya ini sebagai Raktamrittika yang bermaksud “Negeri Tanah Merah”

Hal ini diperkuatkan dengan catatan dalam Shi Shu yang disusun oleh Wei Cheng (581-643) dengan merekod sebagai Chih-Tu yang bermaksud Negeri Tanah Merah. Perkara ini dicatatkan pada tahun 607M ketika seorang Utusan Maharaja China  melawat negara Raktamrittika. Utusan tersebut telah memperincikan kedudukan negara Chih-Tu ini dengan menyatakan ianya mengambil masa 10 hari pelayaran dari arah utara ke Seletan dan pantainya mengahadap kearah utara dan antaranya adalah champa. Ibu kotanya terletak kearah ulu sungai. Apabila kapal tiba dikawasan Jeram, kapal tersebut telah ditarik dengan Rantai Emas dan ini membuktikan kawasan ini amat kaya dengan Emas.
SEKIAN…..

Posting berikutnya adalah tentang  Zaman Empayar SRIWIJAYA.


[1] Rujuk buku Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Penting oleh Abdullah Mohamed (Nakula), 1981

Peta Empayar Kerajaan Kelantan Purba


Kami Kongsikan bersama anda, Dua Peta yang dilakar berdasarkan buku Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Penting. Peta ini menggambarkan kawasan kekuasaan 2 empayar besar suatu masa dahulu yang pusat pentadbirannya terletak di Kelantan pada masa kini.

Kawasan kekuasan Empayar Sri Wijaya di Puncak Keagogannya

 

Kawasan kekuasan Empayar Sampugita di Puncak Keagogannya

Istana Balai Besar : Lambang Kekuasaan Sultan Muhammad II (1839-1886)


Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan

Sultan Muhammad II telah memindahkan pusat pentadabiran Kelantan dari Kota Saba ke Kota Bharu sekarang ini pada tahun 1844. Semasa pemindahan pusat pentadbiran ini, Baginda telah mengarahkan pembinaan sebuah Istana untuk baginda bersemayam.

Istana Balai Besar ini tlah menjadi tempat bersemayam beberapa orang Sultan iaitu bermula dari Sultan Muhammad II (1839-1886), Sultan Ahmad (1886-1889), Sultan Muhammad III (1890-1891) dan Sultan Mansur (1891 – 1900) dan Sultan Muhammad IV (1900-1920).

Pintu Gerbang Istana Balai Besar

Istana Balai Besar adalah Istana Keramat buat keturunan Kesultanan Kelantan dan disinilah tempat berlangsungnya segala upacara rasmi dan adat istiadat diRaja dari tahun 1845 hingga sekarang. Upacara rasmi yang pertama diadakan sempena menyambut “Surat Sejabat” atau pengiktirafan daripada Raja Siam kepada Sultan Muhammad II.

Isi kandungan Surat Sejabat ini adalah pengesahan Tuan Senik Mulut Merah sebagai Sultan Muhammad II oleh Raja Maha Besar Siam yang juga penaung Kelantan. Raja Siam tersebut juga memberi gelaran kepada Sultan Muhammad II sebagai “Pia Lecha Kelantan”.

Sepanjang Istana ini menjadi tempat bersemayam Sultan-sultan Kelantan, beberapa tambahan telah dilakukan pada Istana Balai Besar seperti pada bahagian hadapan dan balai penghadapan iaitu pada masa pemerintahan Sultan Muhammad IV dan Sultan Ismail.  Walau bagaimanapun, ia tidak menjejaskan bentuk asal reka bentuk Istana yang unik ini.

Istana Balai Besar dibina oleh tukang yang mahir di Kelantan pada waktu itu.  Ia diketuai oleh Muhamad Salleh seorang tukang yang berasal daripada Terengganu dan menetap di Kampung Kangkong, dalam jajahan Pasir Mas.  Beliau satu-satunya orang yang mahir dalam pertukangan dan membuat ukiran pada masa itu.

Istana dua tingkat ini menjadi tempat berlangsungnya segala upacara seperti pertabalan, kemahkotaan dan lain-lain.  Ia juga merupakan suatu institusi yang mengekalkan sumber adat resam Melayu.  Di ruang dalam istana ini terdapat singgahsana tempat bersemayam, Dewan Penghadapan dan tempat persandingan.

Upacara rasmi terbaru yang dilangsungkan di Istana Balai Besar ini adalah ketika pertabalan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad V pada 13 September 2010.

Walaupun Istana Balai Besar tidak lagi menjadi kediaman Sultan-sultan Kelantan selepas Sultan Muhamad IV, tetapi istana ini tetap dijadikan istana rasmi bagi segala upacara dan adat istiadat diraja sehingga ke hari ini.

Berhampiran Istana Balai Besar terdapat sebuah bangunan lama yang juga ada kaitan dengan istana  tersebut.  Bangunan ini dikenali dengan Rumah Membuat Bunga Emas.  Rumah ini dijadikan sebagai tempat membuat bunga emas iaitu hadiah kepada Kerajaan Siam setiap tiga tahun sekali sebagai tanda persahabatan pada zaman dahulu.

Istana Balai Besar : Suatu Masa Dahulu

Suatu Masa Dahulu : Pintu Gerbang Istana Balai Besar

Sumber Utama :

Arkib Negara Malaysia