Pantai Sabak terakam dalam Sejarah World War 2
Peperangan Dunia Ke Dua (WWII) adalah satu peperangan yang melibatkan semenanjung Tanah Melayu dan nama Pantai Sabak adalah satu lokasi yang signifikan dalam sejarah Perang Dunia ke dua di Semenanjung Malaysia ketika Jepun menyerang semenanjung ini.
Pantai Sabak mencatatkan beberapa peristiwa penting dalam lipatan sejarah tanah air. Pantai ini ini terletak di Kota Bharu, Kelantan dan kedudukannya amat strategik.
Oleh sebab itu, British telah membina satu pertahanan yang kuat di Pantai Sabak sebagai pengkalan utama bagi menghalang kemaraan musuh dari laut. Pertahanan ini dibina di sepanjang pantai dari Sabak hinggalah jauh ke Bachok. Namun kesan kubu di Pantai Sabak sudah dapat dilihat lagi kerana telah tenggelam dihakis laut yang saban tahun membaham pantai Kelantan.
Angkatan tentera Jepun telah memilih Pantai Sabak sebagai lokasi serangan utama kerana ianya terletak di Utara Tanah Melayu sekaligus berdekatan dengan Siam dan Vietnam kerana tentera Jepun bergerak sehala dengan Pantai Sabak ini.
Sebenarnya, British membina kubu yang kuat di Pantai Sabak adalah untuk melindungi lapangan terbang Pengkalan Chepa yang berhampiran dengannya daripada ditawan musuh dan ini adalah satu penempatan logistik yang amat penting pada Kerajaan British.
8 Disember 1941, Jepun menyerang Tanah Melayu dan pantai ini telah menjadi medan perang pertama. Tentera British yang berkubu di pantai ini telah memberikan tentangan yang sengit menghalang kemaraan Jepun dari mendarat. Walau bagaimanapun, pihak Jepun akhirnya dapat meranapkan kubu pertahanan ini dan seterusnya menguasai Pengkalan Chepa dan seluruh Kota Bharu jatuh ke tangan Jepun pada 9 Disember 1941.
Jepun adalah satu bangsa yang hebat…dalam serangan ini, mereka telah dapat menawan Kelantan dalam masa satu hari sahaja dan ini membuktikan kekuatan dan semangat tentera Jepun yang tinggi. Semasa mereka mendarat di Pantai Sabak, pihak Jepun juga telah membakar kapal-kapalnya untuk menaikkan semangat tentera yang lain dengan mesej, mereka tidak boleh berpatah balik, jika ingin kehidupan lebaih baik mereka harus mara!
Oleh sebab itulah, Kubu Pantai Sabak ini dapat dikalahkan oleh Jepun mesikpun ia kubu yang dianggap Kebal, satu sumber menyebut, jika British bertahan lebih lama sedikit tentu askarnya akan kalah dalam serangan itu. Di Pihak British pula, mereka tewas bukan kerana kematian tetapi mereka kehabisan peluru rifel dan meriam.

Pillbox di Lalang Luas, Machang : Ianya dibina di Kawasan Lapangan Terbang tentera British di Machang.
Asakan hebat daripada tentera Jepun telah menyebabkan Inggeris berundur membiarkan Kubu Pantai Sabak dan Lapangan Terbang Pengkalan Chepa ditawan Jepun.
Mengenang sejarah pertempuran yang hebat ini, pihak Muzium Kelantan telah membina satu tugu di Pengkalan Chepa yang tidak jauh dari kubu Pantai Sabak tersebut. Kawasan ini dinamakan Taman Kediaman dan ini adalah sebagai usaha pihak Muzium Negeri memelihara kesan-kesan sejarah yang berkaitan dengan pendaratan Jepun di Pantai Sabak pada tahun 1941.
Kubu Pantai Sabak, bagaikan satu “ketukan” untuk membuka pintu semangat orang-orang Melayu untuk bangkit mempertahankan hak mereka untuk diwarisi generasi mereka selepas ini.
Sumber:
- Arkib Negara Malaysia
- Raykinzoku
- Buku The Greatest Book of World War II
Istana Balai Besar : Lambang Kekuasaan Sultan Muhammad II (1839-1886)
Sultan Muhammad II telah memindahkan pusat pentadabiran Kelantan dari Kota Saba ke Kota Bharu sekarang ini pada tahun 1844. Semasa pemindahan pusat pentadbiran ini, Baginda telah mengarahkan pembinaan sebuah Istana untuk baginda bersemayam.
Istana Balai Besar ini tlah menjadi tempat bersemayam beberapa orang Sultan iaitu bermula dari Sultan Muhammad II (1839-1886), Sultan Ahmad (1886-1889), Sultan Muhammad III (1890-1891) dan Sultan Mansur (1891 – 1900) dan Sultan Muhammad IV (1900-1920).
Istana Balai Besar adalah Istana Keramat buat keturunan Kesultanan Kelantan dan disinilah tempat berlangsungnya segala upacara rasmi dan adat istiadat diRaja dari tahun 1845 hingga sekarang. Upacara rasmi yang pertama diadakan sempena menyambut “Surat Sejabat” atau pengiktirafan daripada Raja Siam kepada Sultan Muhammad II.
Isi kandungan Surat Sejabat ini adalah pengesahan Tuan Senik Mulut Merah sebagai Sultan Muhammad II oleh Raja Maha Besar Siam yang juga penaung Kelantan. Raja Siam tersebut juga memberi gelaran kepada Sultan Muhammad II sebagai “Pia Lecha Kelantan”.
Sepanjang Istana ini menjadi tempat bersemayam Sultan-sultan Kelantan, beberapa tambahan telah dilakukan pada Istana Balai Besar seperti pada bahagian hadapan dan balai penghadapan iaitu pada masa pemerintahan Sultan Muhammad IV dan Sultan Ismail. Walau bagaimanapun, ia tidak menjejaskan bentuk asal reka bentuk Istana yang unik ini.
Istana Balai Besar dibina oleh tukang yang mahir di Kelantan pada waktu itu. Ia diketuai oleh Muhamad Salleh seorang tukang yang berasal daripada Terengganu dan menetap di Kampung Kangkong, dalam jajahan Pasir Mas. Beliau satu-satunya orang yang mahir dalam pertukangan dan membuat ukiran pada masa itu.
Istana dua tingkat ini menjadi tempat berlangsungnya segala upacara seperti pertabalan, kemahkotaan dan lain-lain. Ia juga merupakan suatu institusi yang mengekalkan sumber adat resam Melayu. Di ruang dalam istana ini terdapat singgahsana tempat bersemayam, Dewan Penghadapan dan tempat persandingan.
Upacara rasmi terbaru yang dilangsungkan di Istana Balai Besar ini adalah ketika pertabalan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad V pada 13 September 2010.
Walaupun Istana Balai Besar tidak lagi menjadi kediaman Sultan-sultan Kelantan selepas Sultan Muhamad IV, tetapi istana ini tetap dijadikan istana rasmi bagi segala upacara dan adat istiadat diraja sehingga ke hari ini.
Berhampiran Istana Balai Besar terdapat sebuah bangunan lama yang juga ada kaitan dengan istana tersebut. Bangunan ini dikenali dengan Rumah Membuat Bunga Emas. Rumah ini dijadikan sebagai tempat membuat bunga emas iaitu hadiah kepada Kerajaan Siam setiap tiga tahun sekali sebagai tanda persahabatan pada zaman dahulu.
Sumber Utama :
Arkib Negara Malaysia
Istana Jahar : Kekal Utuh sebagai Bukti Kesultanan Kelantan
Istana Jahar, sebuah Istana kebanggan Rakyat Kelantan dahulu dan kini. Ianya masih tersergam indah di Bandraya Islam, Kota Bharu. Ianya terletak berhampiran Istana Balai Besar. Ia juga antara istana-istana menarik yang terdapat di Kota Bharu.
Istana ini mula dibina semasa pemerintahan Long Senik Mulut Merah atau lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad II (1837 – 1886) setelah pembukaan bandar Kota Bharu dan pembinaan Istana Balai Besar. Sultan Muhammad II membina istana ini adalah untuk dikurniakan kepada cucundanya yang bernama Long Kundur Bendahara. Setelah kemangkatan Sultan Muhammad II pada 1886, Long Sulong yang lebih dikenali sebagai Sultan Ahmad telah menyambung pembinaan istana ini hingga sempurna.
Sultan Ahmad telah mangkat pada tahun 1889 dan digantikan oleh anakanda baginda iaitu Long Kundur Bendahara dengan gelaran Sultan Muhammad III. Baginda telah menjadikan Istana Jahar sebagai Balai Besar dan tempat persemayaman baginda.
Sultan Muhammad IV telah menaiki takhta setelah kemangkatan mengejut Sultan Muhammad III. Baginda telah menjadikan Istana Balai Besar sebagai tempat bersemayam, dan Istana Jahar masih lagi digunakan. Sebenarnya istana ini tidak mempunyai nama sehinggalah pada tahun 1911 sekembalinya baginda dari lawatan ke Singapura. Istana ini beri nama sempena daripada nama sejenis pokok bunga yang menghiasi halaman Istana Jahar. Kemudiannya, istana ini dikurniakan kepada puteranya Tengku Ismail yang bergelar Tengku Seri Indera Mahkota.
Selepas kemangkatan Sultan Muhammad IV pada 1920, Tengku Ismail menggantikan baginda dengan gelaran Sultan Ismail dan bersemayam di Istana Jahar yang dikurniakan oleh Almarhum ayahanda baginda.
Sultan-sultan Kelantan yang kemudian seperti Sultan Ibrahim (1944-1960) dan Sultan Yahya Petra (1961-1979) tidak lagi bersemayam di Istana Jahar sebaliknya mempunyai istana sendiri.
Istana Jahar kini dijadikan sebagai Muzium Diraja Negeri Kelantan. Muzium ini mempamerkan sejarah kesultanan Negeri Kelantan daripada zaman awal hinggalah kepada pemerintahan Sultan Kelantan pada masa sekarang. Ruang pameran yang terdapat di bangunan Muzium ini dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti peralatan senjata, pakaian tradisi, dan hal-hal lain yang berkaitan dengan kesultanan. Walaupun telah dijadikan Muzium tetapi reka bentuk asal bangunan ini tetap dipelihara. Seni binanya yang unik dengan ukiran-ukiran yang cantik telah menyerikan lagi bangunan istana yang dijadikan muzium itu.
Istana Jahar yang terletak di sisi Istana Balai Besar di tengah-tengah bandar Kota Bharu adalah contoh warisan seni bina Melayu yang indah dan menarik. Sekiranya anda berkesempatan berkunjung ke sini, Istana Jahar dan istana-istana lain di sekitarnya jelas kelihatan di tengah-tengah bangunan baru dan moden. Namun pembangunan pesat kawasan sekitarnya tidak menjejaskan bangunan warisan bangsa yang banyak menyimpan rahsia sejarah.
Ringkas Tentang Limbat
Kota Limbat.-Dalam usaha mencari-cari kawasan baru yang baik dan sesuai untuk dibangunkan kota dan istana sebagai pusat pemerintahannya yang kekal di Kelantan, Long Gaffar mendapat berita tentang suatu peristiwa aneh yang berlaku ke atas dua orang suami isteri yang tinggal berdekatan sebuah kolam di suatu tempat yang belum lagi bernama pada masa itu berhampiran dengan kampung Pauh Butut (sekarang kampung Kerasak, Limbat). Kedua-dua suami isteri itu dikatakan telah melanggar pantang-larang yang merupakan akujanji mereka berdua, telah menyebabkan mereka hilang ditelan kolam sakti dan berpuaka itu.
Ringkas tentang Kemubu
Kampung Kemubu pada asalnya merupakan sebuah kawasan hutan dan dibuka pada sekitar tahun 1940-an oleh para peneroka dari Kemubu Hilir atau lebih tepat dari Kampung Tok Lanas. Kedudukan kampung yang strategik, berdekatan dengan sebatang sungai yang dijadikan laluan utama penduduk ketika itu menjadikan kampung ini salah satu lokasi tumpuan ramai. Nama kampung diambil bersempena dengan nama Sungai Kemubu yang terletak berdekatan dengan kawasan kampung. Sejak ia dibuka, kampung ini diawasi pasukan pengawal atau Home Guard dan dipagari kawad besi bagi mencegah pencerobohan komunis ke dalam kawasan kampung.
Apabila penaklukan komunis di Tanah Melayu berakhir, kerajaan Tanah Melayu telah memberikan tanah secara percuma kepada para peneroka awal kampung ini. Lokasi asal Perpustakaan Desa Kemubu ini dibina di atas tapak balai polis lama. Perpustakaan desa ini juga dibina setelah lokasi balai polis dipindahkan ke Kampung Mahligai yang terletak tidak jauh dari kampung.