Category Archives: Mitos

TEROWONG MISTERI DI PALEKBANG:


Semuanya bermula dari sini : http://militaryofmalaysia.net/2012/11/berita-gempar-den-sorang-je-tahu-tapi-den-malas-nak-bagitahu/

Lalu, wakil iaitu Admin Kota Bharu telah pergi ketempat yang disebut itu. Sejak posting seperti dalam pautan diatas, orang ramai telah berkunjung ke Palekbang untuk membuat pengesahan, memandangkan hari ini adalah hari akhir sementelahan esok adalah cuti umum, maka ramailah orang telah kesana untuk membuat pengesahan.

Sebelum ambo coret lebih banyak tentang Palekbang, marilah kita kenali dahulu apa itu Palekbang dan kenapa ia menjadi sebutan dari dahulu hingga sekarang.

Palekbang adalah sebuah penempatan yang terletak berhampiran tebing sungai Kelantan dan juga berhampiran dengan Kuala Kelantan. Lokasi ini mempunyai pelbagai nama dan ianya merupakan tempat yang bersejarah dari dahulu hingga kini, kerana ianya merupakan satu-satunya jalan masuk ke Kelantan jika anda belayar dari Laut China Selatan.

Sebagai sebuah lokasi tumpuan, semestinya ia menyimpan pelbagai rahsia dan misteri. Yang paling mencuri tumpuan kita pada hari ini adalah kisah “Terowong Purba”.

TEROWONG PURBA

Kewujudan terowong ini amatlah rahsia hingga tiada bukti yang dapat dinyatakan pada masa kini. Namun, cerita dari mulut ke mulut telah diketahui hingga ke generasi ini dan hari ini, kami telah digegarkan dengan maklumat seperti yang terkandung dalam pautan di atas.

Mengikut sumber kami, terowong ini amat panjang dan ianya dikatakan mencecah 100 batu dengan setiap 10 batu akan bepecah 4 (sama seperti di trafic light).

Terowong ini bermula dari arah pantai (Palekbang) hinggalah ke kawasan Nenggiri, terowong ini dibayangkan telah wujud lama sebelum Perang Dunia Kedua dan lebih lama dari itu kerana ia didakwa telah wujud ketika bumi Kelantan ini tinggi dari aras laut.

TEROWONG PURBA DAN PENGGUNAANYA PADA ZAMAN PERANG DUNIA

Kelantan tidak terlibat secara langsung dalam Perang Dunia Pertama, tetapi ia menjadi lokasi awal ketika Jepun menyerang semenanjung Tanah Melayu dimana Jepun telah naik ke darat melalui Pantai Sabak di Pengkalan Chepa.

Jepun mara melalui jalan darat dari arah Siam dan mereka telah arif dengan segenap lorong di Semenanjung kerana mereka telah lama menghantar agen perisik ke seluruh pelusuk dunia.

Sebenarnya, maklumat jelas mengenai agen perisik ini bermula sewal kurun ke-16 lagi apabila seorang Samurai dari Jepun telah menjadi Penguasa di Nakorn Sri Tamarat iaitu Yamada Nagamasa dari sini komuniti Jepun telah berkembang ke seluruh Nusantara.

Beratus-ratus tahun Jepun mempunyai maklumat terutamanya mengenai Kelantan dan Terengganu kerana itu mereka paling ramai berada di Kuala Berang walaupun pada awal Perang Dunia ke-2, Kuala Berang sudah menjadi satu kawasan Hulu Terengganu yang tidak dipedulikan, ini kerana mereka mempunyai maklumat mengenai sejarah Kuala Berang itu sendiri. Balik kepada Kelantan, ratusan tahun masa yang diambil oleh agen Jepun untuk membina satu rancangan teliti tentang menawan Kelantan kerana mereka telah mengetahui kekayaan Kelantan.

Kewujudan “terowong purba” ini mungkin telah diketahui oleh Jepun. Manakala pihak British juga telah maklum akan kewujudan terowong ini dan dari itu mereka telah membina Lapangan Terbang Bawah Tanah yang paling popular adalah di Gong Kedak, Pasir Puteh dan Padang Lalang Luas, Machang.

Kini, dakwaan kewujudan terowong ini tidak dapat disahkan kerana tiada bukti kukuh tentang perkara ini. Lapangan Terbang Lalang Luas sendiri telah menjadi puing-puing sejarah ditengah kawasan perumahan, namun kesan dia masih ada.

Terowong ini pula semakin lama semakin dilupakan, hingga ramai yang menyangkal akan dakwaan ini.

Akhirnya, pada 28/11/2012 berita tentang pihak Tentera dan Polis telah mengepung satu kawasan di Palekbang telah dihebohkan oleh blog Military of Malaysia dengan memberi hint tentang Struktur Bawah Tanah.

Kami telah sedia maklum tentang hal ini. Namun atas sebab keselamatan ada maklumat tidak dapat kami hebahkan disini.

Perkara ini tersebar, ekoran Kontraktor yang sedang menjalankan pembinaan telah menemui satu struktur bawah tanah yang meragukan hingga mereka telah memangil Bomba untuk menyedut air dari satu tempat pembinaan mereka. Dari sini, Bomba telah memaklumkan kepada pihak tentera dan polis kerana apa yang mereka temui adalah diluar bidang kuasa mereka.

Sumber kami di Palekbang menyatakan bahawa, struktur dalam tanah tersebut mengandungi bahan letupan (belerang) dalam kuantiti yang banyak dan ianya didakwa adalah tinggalan Perang Dunia ke-2. Sumber kami yang lain pula menyatakan bahawa mereka yang mempunyai “pas keselamatan” sahaja boleh memasuki kawasan ini.

Apa yang ditemui dikawasan tersebut memang kami tidak ketahui lagi. Hingga saat ini ianya masih dibawah kawalan pihak ATM.

ANTARA GAMBAR DI KAWASAN YANG DI DAKWA:

Gambar di kawasan yang di dakwa

Didakwa sebagai “pintu terowong” . Wallahualam

Mitos Wau Bulan


Bulatan bulan pada Wau Bulan melambangkan negeri-negeri daratan yang dinamakan Nusarantang-kawasan yang bersambung. Bintang yang terletak di antara bulatan bulan sabit penuh dilambangkan sebagai ‘negara pusat’ atau ‘kawasan pusat pemerimtahan’ yang dinamakan ‘Nusa Kencana-Kawasan Emas dan bulan sabit penuh yang menjadi bahagian bawah wau ini dilambangkan dengan negeri-negeri kepulauan yang dinamakan Nusantara-Kawasan yang dirantai oleh laut-laut. Wau Bulan ini memiliki tiga teraju yang melambangkan tiga bahagian empayar Srivijaya dan tiga teraju ini diikat oleh satu tali, yang melambangkan Empayar Srivijaya ini diperintah oleh satu pentadbiran pusat.

Sumber : Fan Page KPSK

Mitos : Wau 2


Di awal abad ke-8 muncul seorang tokoh, iaitu cucu Sri Maharaja Sri Jayanaga yang bernama Jaya Sinha. Beliau mempunyai berbagai gelaran, antaranya Sabjaya atau Sanjaya Putera, Inu Dewa, Seri Panji, Mahisa Kelana Seri Panji, Raden Inu Kertapati atau Raden Asmarajaya dan Hyang Kamajaya, tetapi dia lebih terkenal dalam cerita-cerita tradisi sebagai Dewa Muda. Dewa Muda telah mengadakan beberapa serangan untuk menyatukan kembali Empayar Srivijaya.

Sebelum Dewa Muda mengadakan serangan, dia telah lama bertapa dan apabila selesai, dia pulang dari gua tempatnya bertapa dengan membawa rangka atau ‘lembaga’ wau bulan yang baginya merupakan peta penyerangan dan penaklukan kembali Empayar Srivijaya atau Asia Tenggara itu.Dewa Muda menakluk kembali empayar yang agung itu kira-kira pada tahun 713 hingga 779 Masihi. Setelah mendapat kemenangan, Wau Bulan yang menjadi lambang Empayar Srivijaya dikenali sebagai ‘Sejagat Tanah Jawa’. Kepala dan tengkuk wau bulan yang berbentuk garuda itu melambangkan raja segala burung yang sebenarnya seorang wali.

Namanya ialah Riah, dalam Bahasa Arab disebut ‘Nabi Mahlail Alaihissalam’ antara 313 rasul dan dalam Bible, beliau disebut dengan nama ‘Mahalelselt’. Dalam cerita-cerita tradisi dia digelar ‘Burung Petala Indera’. Jadi, kepala Wau Bulan ini melambangkan roh dan semangat Empayar Srivijaya, dan memberi erti asas kebudayaan dan asas peradaban dalam empayar ini.
Dikisahkan bahawa busur wau ini memiliki dua belas bahasa, dua belas ragam yang melambangkan negeri atau daerah yang disatukan kembali dengan negara pusat Empayar Srivijaya. Dua belas negeri tersebut ialah Filipina, Vietnam, Segenting, Kemboja-Laos-Thailand Tengah dan Utara, Burma, Burma Barat dan Benggala Timur menganjur ke Kepulauan Andaman, Pulau Irian dan Pulau Sulawesi. Sementara dua belas ragam bererti dua belas suku terdapat di dua belas daerah/negeri tersebut tadi.

Sumber : fan page KPSK

Mitos Wau 1


Mengikut satu cerita, wau itu pada awalnya adalah permainan tanpa nama. Permainan yang dimainkan oleh kanak-kanak ini diperbuat dari daun tertentu yang diikat pada tulang belakang daun tersebut dengan tali kelopak batang pisang atau urat-urat daun nenas. Wau dimainkan di tempat yang berangin. Satu waktu, permainan tanpa nama itu putus talinya, dan anak itu pun menangis “wa,wa,wa,wa…”, maka, menurut yang empunya cerita, lahirlah perkataan “Wau”.

Mengikut asal usul yang lain, yang lebih dekat dengan mitos, ia bermula apabila Dewi Dewa Dani bersalinkan Dewa Muda. Bidan Ketujuh membuang tembuni Dewa Muda ke laut. Maka Mak si Dewa Dewa yang sedang bertapa di kayangan merasa tidak selesa duduk di kayangan, lalu dia turun ke Medan Kulum Laman Yang Rata, dan dilihatnya tembuni Dewa Muda terapung-apung di Sungai Nil. Tembuni itu dipulihkan menjadi seorang dewa yang dinamakan Awang si Jambul Lebat dan selaput tembuni Dewa Muda itulah dijadikan “rangka” Wau untuk Dewa Muda.

Untuk menyiapkan Wau itu, Mak si Dewa Dewa mengambil panau Dewa Muda untuk dijadikan bunga Wau, tangan Dewa Muda untuk sayap Wau, laras kaki Dewa Muda dijadikan tangan dan badan wau serta rambut Dewa Muda dijadikan jambul Wau. Bila Wau ini dinaikkan, maka busurnya berbunyi dua belas bahasa dan dua belas ragam. Dari bunyi busur itulah wujudnya nama “Wau”. Mengikut asal usul ini juga, wau yang tidak ada busur atau busurnya tidak berbunyi dua belas bahasa dan dua belas ragam dipanggil “layang-layang”.

Gua Musang mendapat Nama


Pemandangan Gua Musang

Kejadian bermula apabila sekumpulan orang asli ini keluar berburu namun tidak mendapat hasil tangakapan. Mereka menanti seketika sehinggalah ternampak seekor ayam hutan yang berlari dengan pantas. Rupa-rupanya ayam hutan itu dikejar oleh musang dan mereka pun mengekori ayam itu. Namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila ayam tersebut hilang di dalam hutan tebal itu. Tidak lama selepas itu, mereka sekali lagi terserempak dengan seekor musang sedang mengejar ayam hutan tidak jauh dari tempat kejadian yang pertama tadi. Kali ini juga mereka tidak sempat menyumpit ayam hutan itu. Kedua-dua kejadian ini menghairankan mereka kerana sebelum ini kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku. Biasanya mereka dapat menyumpit binatang yang diburu, akan tetapi pada hari itu mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Pada hari berikutnya apabila mereka keluar berburu, kejadian yang sama juga berlaku di mana mereka ternampak musang sedang mengejar ayam hutan di tempat yang sama ditepi sebuah gua. Mereka cuba menyumpit ayam hutan itu tetapi gagal dan kejadian ini menambahkan lagi kehairanan mereka. Keesokkan harinya mereka keluar meramai-ramai untuk mengesan tempat hilangnya ayam-ayam hutan yang dikejar oleh musang sejak beberapa hari lalu. Mereka menjumpai satu lubang yang menyerupai seekor musang sedang mengejar seekor ayam.

Setelah melihat bentuk gua tersebut mereka berasa takut dan terus meninggalkan tempat itu. Mereka menamakan tempat itu Gua Musang. Sekarang gua tersebut menjadi daya tarikan pelancong kerana di dalam gua itu terdapat batu dengan pelbagai bentuk. Ada bentuk yang menyerupai ular, kepala gajah, gendang, telaga air terjun dan buah belimbing.

Sumber:

  1. Mohd Roselan Abdul Malik, (1993). Salasilah nama tempat : Negeri Kelantan Darul Naim. Petaling Jaya : Penerbit Prisma Sdn Bhd
  2. Perpustakaan Negara Malaysia