Category Archives: Ulama

Tok Bachok


Uthman bin Haji Muhammad (1868 – 1953) atau lebih dikenali sebagai Tok Bachok merupakan salah seorang tokoh ulamak di nusantara yang terkemuka. Uthman bin Haji Muhammad atau nama penuhnya Haji Uthman bin Haji Muhammad merupakan salah seorang daripada ulamak Melayu yang bertanggung jawab mengembangkan syiar Islam di nusantara.

Kedudukan nusantara diantara jalan perdagangan tanah Arab dengan negara China merupakan peluang yang membenarkan kawasan nusantara menjadi satu kuasa bertaraf antarabangsa yang dipengaruhi oleh idea dan kebudayaan daripada bangsa Arab, India dan China.

Mereka yang bertaraf ulamak biasanya pernah melanjutkan penggajian ke Semenanjung Arab seperti di Mekah, atau Universiti Al-Azhar. Di sana mereka juga terdedah kepada kebudayaan Parsi, Rom dan Turki sebagaimana yang dapat dikesan dalam sastera golongan istana seperti Hikayat Amir Hamzah, dan juga oleh kebudayaan China seperti mana yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, dan Syair Siti Zubaidah.

Tokoh KPSK : Syeikh Ahmad al-Fatani | Ulama Besar Alam Melayu


BIOGRAFI :

Nama Tubuh : Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa bin Muhammad bin Muhammad Zainal Abidin

Tarikh Lahir : 5 Syaaban 1272H bersamaan 10 April 1856M

Tempat Lahir : Kampung Sena Janjar, Kampung Jambu, Negeri Jerim kini di Selatan Thailand atau lebih tepat di Negeri Patani Darussalam suatu masa dahulu.

Umur  ketika pulang ke Rahmatullah :  52 tahun

Tarikh : 11hb. Zulhijjah 1325H bersamaan 14 Januari 1908

Tempat : Mina dan disemadikan di perkuburan Ma’la

——————————————————————————————————————————————————-

Susur Galur Keturunan :

Datuk beliau iaitu, Syaikh Mustafa Bin Muhammad adalah seorang panglima Istana Raja Patani, yang telah mengundur diri selepas tentera Raja Patani kalah perang dengan tentera Siam, lalu membuka pondok pengajian di Kampong Sena Janjar, daerah Jambu.

Dikatakan beliau mendapat ‘pembukaan’ dari Allah dengan diperlihatkan air telaganya melimpah keluar pada suatu malam akhir Ramadan, yang beliau fahami sebagai petanda malam Lailatu al-Qadr. Beliau telah berdoa pada sisi telaga itu agar zuriat beliau menjadi ulama. Telaga itu masih ada sehingga sekarang dan berada tidak berapa jauh dari kubur beliau. Empat anak lelakinya telah menjadi ulama terbilang, Syaikh Abdul Latif telah bergiat di Bangkok, Syaikh Daud dan Syaikh Muhammad Zain, ayahnya Syaikh Ahmad bergiat di Makkah dan Syaikh Abdul Qadir, yang dikenali sebagai Tok Bendang Daya di Patani.

Syaikh Muhammad Zain telah membawa keluarganya berpindah ke Kota Makkah ketika Syeikh Ahmad berusia 4 tahun. Pada waktu itu, beliau telah menunjukkan keperibadian yang berbeza dengan kanak-kanak seusianya apabila beliau menghafal pelbagai matan seawal usia dua tahun.

——————————————————————————————————————————————————-

PENDIDIKAN

Kota Makkah telah menjadi medan beliau untuk menuntut ilmu dengan gigih. Setelah itu beliau telah melanjutkan pelajaran di Baitul Maqqdis selama dua tahun sehingga menjadi orang Melayu pertama yang mendapat pendidikan khusus dalam bindang perubatan daripada Syeikh Abdul al-Rahim al-Kabuli disamping ilmu-ilmu lain terutamanya dalam bidang yang berkaitan syariat. Sebuah kitab perubatan telah dihasilkan oleh beliau semasa menuntut dengan Syeikh Abdul al-Rahim al-Kabuli yang bertajuk Tayyib al-Insan fi Tibb al-Insandalam Bahasa Melayu.

Kedahagaan beliau kepada ilmu telah membawa beliau ke Universiti Al-Azhar yang beliau namakan sebagai Masjid Jami al-Azhar, waktu itu beliau berusia belasan tahun. Beliau telah menempa sejarah sebagai Orang Pertama dari Asia Tenggara yang menuntut ilmu di Mesir sehingga terkenal di kalangan orang Melayu pada waktu itu.Ketika itu juga, beliau telah melibatkan diri dalam penerbitan kitab-kitab Melayu.

Antara guru beliau adalah (guru-guru berbangsa Melayu yang bermaustautin di Kota Makkah) :

  • Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah (berbangsa Arab)
  • Syeikh Mustafa Al-Afifi (berbangsa Arab)
  • Sayyid Umar al-Shami al-Baqa’i (berbangsa Arab)
  • Sayyid Muhammad Ali bin Sayyid Zahir al-Watri (berbangsa Arab)
  • Syeikh Abd Qadir al-Shibli al-Tarablusi (berbangsa Arab)
  • Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fatani @ Syeikh Nik Mat Kecik al-Fatani (berbangsa Melayu -Patani)
  • Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Rahman al-Fatani (berbangsa Melayu – Patani)
  • Syeikh Muhammad Said bin Isa al-Kalatani (berbangsa Melayu – Kelantan)
  • Syeikh Abdul Mutallib Kuta (berbangsa Melayu – Kelantan)
  • Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani (berbangsa Melayu – Kelantan)

——————————————————————————————————————————————————-

KEGIATAN BELIAU

Setelah itu, beliau telah kembali ke Kota Makkah sebagai seorang ilmuan yang disegani dan penyair yang terbilang dengan gelaran Syeikh Ahmad al-Zaki Mesir. Ramai anak muda terutama dari Nusantara telah menjadi muridnya walaupun ketika itu di Kota Mekah telah ada Ulama dari alam Melayu yang bergiat di bumi Makkah.

Disenaraikan antara murid-muridnya :

Dari Patani murid-muridnya tidak kurang dari 23 orang :

  • Syeikh Abdullah bin Qasim Senggora
  • Syeikh Muhammad bin Idris al-Fatani
  • Muhammad bin Hussein bin Abdul Latif al-Fatani

Dari Malaysia tidak kurang hebatnya, iaitu melebihi 38 orang dan terdiri daripada kalangan Sultan, iaitu:

  • Sultan Mansor yang merupakan sultan Kelantan
  • Sultan Zainal Abidin iaitu sultan negeri Terengganu
  • Syeikh Abdul Samad bin Muhammad Saleh (Tuan Tabal)
  • Syeikh Wan Sulaiman bin Sidiq, Mufti Kedah
  • Tuan Guru Haji Omar bin Ismail, Sungai Keladi, Kota Bharu, Kelantan
  • Tuan Haji Awang Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kenali (Tok Kenali)
  • Tuan Haji Hassan bin Panglima Munas (Tok Janggut)

Anak-anak murid beliau juga terdiri daripada anak-anak kelahiran Kemboja / Champa iaitu:

  • Hj. Muhammad Saleh
  • Tengku Sulaiman
  • Tuan Guru Haji Muhammad Tahir Kemboja

Beliau juga turut mempunyai lebih dari 23 orang murid dari Indonesia antaranya:

  • Syeikh Sulaiman al-Rasuli
  • Syekh Muhammad Jamil Jaho
  • Syekh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Minangkabawi.

——————————————————————————————————————————————————-

SEMANGAT NASIONALIS

Sebagai seorang ilmuan yang disegani dan penyair yang terbilang. Kedudukan Syaikh Ahmad agak istimewa, selain daripada menguasai ilmu-ilmu tradisional agama dengan menguasai pelbagai bidang ilmu meliputi ilmu-ilmu yang berkaitan dengan bahasa Arab, usul, tafsir, hadis, fikah dan lain-lain.

Beliau juga memiliki kesungguhan untuk memahami perkembangan kemajuan dunia yang sedang pesat berlaku dan beliau berusaha untuk memanafaatkan kemajuan itu untuk meninggikan agama Islam dan memartabatkan bangsanya.

Beliau juga telah mengadap  Sultan Abdul Abdul Hamid II (Sultan Uthmaniyah Turki) untuk membenarkan percetakan kitab-kitab Melayu di Makkah. Beliau juga telah membawa beberapa orang muridnya antaranya Tok Kenali bagi mengunjungi Syam untuk bertemu Syaikh Muhammad Yusuf an-Nabhani, kemudian mengunjungi Mesir dan bertemu dengan Syaikh Muhammad Abduh.  Beliau juga menghantar muridnya ke beberapa daerah untuk tujuan dakwah, terutamanya beberapa muridnya telah pergi ke Kemboja  Beliau mengambil berat tentang nasib yang menimpa anak bangsanya  [istilah Syaikh Ahmad ialah anak jenisnya].

Zaman Syaikh Ahmad bergiat berkebetulan dengan zaman kejatuhan  kerajaan Uthmaniyyah di Istanbul,  banyak daripada kawasan pemerentahan Uthmaniyyah telah jatuh ke tangan negara-negara barat. Syaikh sangat mengkagumi sejarah  kebesaran kerajaan Uthmaniyyah di zaman lampau dan mengharapkan pemerentahan Uthmaniyyah  akan berterusan demi kepentingan ummah. Di waktu yang sama  beliau sangat insaf tentang kelemahan dan kemunduran ummah serta kekuatan pihak lain hasil kemajuan yang sedang berlaku di Eropah dan Amerika ketika itu.

——————————————————————————————————————————————————-

HASIL KARYA

Syeikh Ahmad al-Fatani rahimahulLah telah mengarang lebih daripada 160 buah kitab sama ada dalam bahasa Arab atau bahasa Melayu termasuk kitab-kitab yang ditashih. Dalam bahasa Arab sahaja kitab-kitab karangan beliau melebihi 32 buah, antaranya ialah:

  • Jumanat al-Tawhid (1293H/1876),
  • Tashil Nayl al-Amani (1300H/1883)
  • cIlm al-Sarf (1317H/1900).

Manakala kitab-kitab yang dikarang dalam bahasa Melayu pula tidak kurang daripada 22 buah, antaranya :

  • Hadiqat al-Azhar (1307H/1890),
  • Bahjat al-Mubtadin (1310H/1892)
  • Faridat al-Fara’id (1313H/1895).

Dalam bidang pentashihan pula yang tinta emas sejarah mencatatkan bahawa beliau sebagai pelopornya telah mentashih lebih daripada 36 buah kitab yang kebanyakannya dalam bahasa Melayu berbanding bahasa Arab. Syeikh Ahmad al-Fatani telah mentashih lebih daripada 25 buah kitab berbahasa Melayu yang antara lainnya:

  • Tafsir Baydawi karangan Syeikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri,
  • Furu’ al-Masa’il karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani
  • Tuhfat al-Raghibin tulisan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari.

Antara karya-karya bahasa Arab yang ditashih beliau ialah:

  • I’anat al-Talibin oleh Sayyid Abu Bakar Shata,
  •  al-Ajrumiyyah karangan Imam Shanhaji dan
  • al-Kharidat al-Bahiyyah tulisan Syeikh Abdullah bin Usman Makki.

 ——————————————————————————————————————————————————

KEMBALI KE RAHMATULLAH          

 

Tokoh agung Nusantara yang telah menabur bakti mengajar selama 25 tahun di Masjdil Haram, ini akhirnya menemui Ilahi di Mina ketika sedang mengerjakan haji sunat pada malam 11hb. Zulhijjah 1325H bersamaan 14 Januari 1908 dan disemadikan di Mekah di perkuburan Ma’la di bawah kaki Umm al-Mukminin Siti Khadijah radiaLlahu’anha. Semoga Allah (s.w.t) mencucuri rahmat ke atas beliau dan seluruh umat Islam…Amin.

 

 

Rujukan :

1)       PEMIKIRAN USUL FIKAH SYEIKH AHMAD AL-FATANI DALAM KITAB AL-FATAWA AL-FATANIYYAH

2)      Tradisional Islam : Syeikh Ahmad  al-Fatani

3)      Melayu Online.com

Siri Ulama KPSK : TOK KENALI


PROFIL

Nama                   :              Haji Awang Muhammad Yusuf bin Ahmad

Tarikh Lahir        :              3 April 1870

Tempat Lahir     :              Kampung Kenali, Kota Bharu, Kelantan

Tarikh Meninggal :          19 November 1933 (63 tahun)

PENDIDIKAN :

Semenjak kecil lagi Tok Kenali telah memperlihatkan kecerdasan yang lebih dari kanak-kanak seusianya. Abdullah Al-Qari Haji Salleh menyatakan bahawa pada umur 10 tahun, Tok Kenali telah melanjutkan pelajarannya di Kota Bharu. Beliau telah berguru dengan ulama yang terkenal pada masa itu, antaranya Encik Ismail (ayahanda Dato’ Perdana Menteri Almarhum Haji Nik Mahmud), Tuan Guru Asy-Syaikh Muhammad Ali bin Abdul Rahman yang terkenal dengan gelaran  “Wan Ali Kutan”, Tuan Guru Haji Taib Tuan Padang dan Tuan Guru Haji Ibrahim Sungai Budor.

Pada usia 17 tahun, Tok Kenali telah berangkat ke Kota Mekah pada tahun 1886 untuk melanjutkan pelajarannya.

Menjadi kelaziman pada zaman itu untuk ke Kota Mekah bagi melanjutkan Ilmu kerana di sana merupakan pusat kegiatan ulama besar Nusantara yang telah meletakkan batu asas Pengajian Islamiah yang kukuh di Asia Tenggara. Di Kota Mekah inilah mereka menyusun dan mengarang serta melahirkan karya-karya ilmiah yang besardan disana juga  lahirnya generasi ulama baru.

Ulama-ulama Nusantara yang muncul dari Tanah Haram adalah :

  • Al-Syaikh Daud al-Fatani,
  • Al-Syaikh Abdul Samad al-Falimbani,
  • Al-Syaikh Ahmad Khatib al-Sambasi dan lain-lain lagi.

Mereka inilah yang menjadi ikon anak muda ketika itu dan mereka juga sumber inspirasi generasi Tok Kenali untuk melanjutkan pelajaran ke Kota Makah. Pada zaman tersebut juga, terdapat seorang ulama besar Patani yang terkenal iaitu Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani. Beliau seorang yang alim dan berpengatahuan luas dalam pelbagai bidang. Kami akan kupas dalam posting seterusnya mengenai beliau.

 

Tok Kenali berada di Kota Mekah selama 20 tahun dengan berguru kepada Syaikh Ahmad. Beliau telah memperlihatkan dedikasi dan kebolehan luar biasa hingga beliau menjadi ulama yang amat disayangi oleh gurunya. Sebagai penghargaan Syaikh Ahmad telah membawa Tok Kenali ke Mesir pada 17 Mac 1904 untuk menemui Al-Imam Muhammad Abduh seorang pembaru dan penggerak umat Islam yang ulung di abad ke-20.

1908 gurunya telah meninggal dunia, hal ini menyebabkan Tok Kenali merasa kekosongan kerana segala ilmu yang menjadi matlamat pelajar pada masa itu telah diperolehinya. Bertitik tolak dari sinilah, beliau kembali semula ke Kelantan pada 22 Januari 1909 pada usia 40 tahun.

 

KEHIDUPAN DI KELANTAN

Pada masa kepulangan Tok Kenali, Kelantan sebuah negeri maju tetapi menghadapi pergolakkan politik kerana asakan Siam dan British.

Kelantan pada masa itu dibawah pemerintahan almarhum Sultan Muhammad IV yang masih begelar Raja Kelantan dan ketika itu siri rundingan sedang rancak berlangsung diantara pembesar negeri Kelantan, Siam dan Inggeris bagi mencari titik persetujuan memindahkan naungan dari kerajaan Siam kepada Kerajaan Inggeris.

10 bulan kemudian iaitu pada 20 Oktober 1909 Kelantan menjadi naungan Inggeris dan tercatatlah kisah Kelantan dijajah Inggeris dan seterusnya merdeka pada 1957 di bawah nama MALAYSIA!

Ringkasnya, kepulangan Tok Kenali  ke Kelantan disambut dengan zaman baru naungan Inggeris yang bakal memberi cabaran kepada tokoh-tokoh yang kembali dengan ilmu pengetahuan dan kebolehannya.

DAKWAH ISLAMIYAH DI KELANTAN

Tanpa membuang masa, Tok Kenali terus memulakan usahanya untuk menabur bakti pada masyarakat Kelantan dengan menubuhkan Pondok Kenali dan usaha ini telah mendapat bantuan daripada sahabat beliau yang juga Menteri Besar Dato’ Perdana Haji Nik Mahmud bin Ismail. Persahabatan mereka ini terjalin semenjak usia belasan tahun lagi ketika mereka menuntut ilmu dengan Encik Ismail, ayahanda Dato Ismail.

Mereka juga sama-sama menuntut dengan Tuan Guru al-Syaikh Ahmad. Sekiranya Tok Kenali dapat mewarisi ilmu tatabahasa Arab dan ilmu agama yang tinggi, maka Dato’ Haji Nik Mahmud telah mewarisi ilmu dan pandangan-pandangan kemasyarakatan dan siasah yang tinggi dari Tuan Guru Syaikh Ahmad itu.

Mereka berdua telah menggerakan usaha untuk memajukan Negeri Kelantan dan meluaskan penyebaran ilmu pengetahuan agama yang tinggi. Tok Kenali akhirnya bertugas di Masjid Besar Kota Bharu setelah terlalu kerap berulang alik dari Pondok Kenali ke Kota Bharu bagi memenuhi tugasan besar ketika itu.

Masjid Besar Kota Bharu (Masjid Muhammadi) – pada waktu Tok Kenali ianya adalah satu pusat pengajian tinggi Islam yang tidak lama kemudian muncul sebagai satu-satunya pusat pengajian tinggi yang paling gemilang di Semenanjung Tanah Melayu.

KEPERIBADIAN

Beliau satu-satunya Ulama yang disayangi oleh segenap lapisan masyarakat. Kisah hidup beliau telah mencapai tahap lagenda kerana hingga hari ini kisah beliau sering diperkatakan walaupun beliau sudah tiada 79 tahun yang lampau (2012).

Beliau bukan sahaja terkenal sebagai seorang Ulama Besar tetapi sikap dan peribadi beliau yang jujur, rendah diri, peramah dan pemurah.

Selain itu, beliau juga zahid, bersahaja dan darwis sikap yang diamalkan semenjak menuntut di Mekah. Beliau melayani yang bodoh sama seperti beliau melayani yang cerdik, beliau menghormati kanak-kanak sama dengan beliau menghormati orang-orang dewasa.

Beliau juga tidak pernah menghampakan pemberian dan jemputan dari sesiapa pun. Sekiranya beliau menerima pemberian, maka dia akan bahagikan kepada orang-orang disekelilingnya dan apabila dijemput, beliau akan tampil menjadi tukang masak.

Keperibadian beliau inilah menyebabkan orang yang berhubungan dengan beliau menyimpan kenangan-kenangan yang indah terhadapnya.

SUMBANGAN TOK KENALI

PENTADBIRAN DAN USAHA DAKWAH

Tok Kenali sentiasa dirundingi oleh sahabatnya, Dato’ Perdana bukan sahaja dalam persoalan-persoalan agama, malah dalam persoalan-persoalan umum, kerana di samping sifatnya sebagai ulama’ besar, beliau juga terkenal mempunyai pemikiran yang tajam dalam permasalahan kemasyarakatan dan siasah. Di zaman merekalah tertubuhnya Majlis Ugama Islam Kelantan (1915), Madrasah Al-Muhammadiah (1917) dan terlancarnya majalah Pengasuh (1918). Kedua-dua tokoh ini memainkan peranan yang penting dalam kemajuan umat Islam di Kelantan.

PONDOK KENALI

Beliau tidak meninggalkan karya yang besar dalam mana-mana bidang pengajian Islamiah, namun jasa beliau yang paling besar adalah mewujudkan barisan Ulama yang berpendidikan tinggi di negeri Kelantan dan Malaya, Indonesia, Thailand dan Kemboja pada separuh abad ke-20.

Beliau juga telah berjaya membawa kemuncak pengajian tatabahasa Arab, nahu sarf, balaghah dan ‘arudh di dalam sistem pelajaran pondok di negeri ini.

MAJALAH PENGASUH

Info ringkas:

  • Ketua Pengarang pertama dan Pengasas – Tok Kenali
  • Tahun penerbitan 1918
  • Majalah Pengasuh majalah tertua yang kedua selepas Majalah Al-Imam yang diterbitkan oleh Syed Sheikh bin Ahmad al-Hady pada tahun 1906
  • Majalah Pengasuh sama usia dengan Majalah Seri Pustaka di Indonesia yang diterbitkan Balai Pustaka dalam tahun 1918.
  • Hingga ke hari ini Majalah ini masih diterbitkan!

Tok Kenali bukanlah seorang penulis prolifik seperti Syed Sheikh, tetapi beliau mempunyai gaya penulisan yang gagah dan jelas, sekiranya beliau tidak dilambakan dengan tugas yang banyak dan berat, sudah pasti nama beliau akan tercatat sebaris dengan sasterawan negara.

Semenjak dari muda lagi, Tok Kenali minat membaca dan tegas terhadap bidang jurnalis serta peranan majalah dan suratkhabar selaku mass media yang berpengaruh untuk menyatupadukan umat Melayu dan beliau telah berusaha menerbitkan Majalah Pengasuh melalui Majlis Ugama Islam walaupun beliau sibuk dengan tugas-tugas besar yang lain.

Perkara ini dapat kita teliti dalam tulisan beliau yang tegas dalam edisi pertama Pengasuh. Antara lain beliau menulis:

“Telah mengakulah saya bahawa saya ini tiada daripada kuda medan ini. Sekiranya jika ada orang yang mengangkatkan pekerjaan saya ini terhentilah saya, kerana bukan tujuannya saya hendak menunjukkan kebijakan dan mencari kepujian, kerana adalah orang yang mengarang itu jadi kikit bagi sekalian penembak. Jika tidak ia pejam matanya nescaya mati ia kerana dukacita, tetapi adalah dituntut daripada seseorang itu manfaatnya atau mudharatnya, beranilah saya menceburkan diri di dalam laut api yang sentiasa bernyala-nyala. Selama ada angan-angan yang baik itu tiadalah puas hati saya mati sebelum saya lihat perubahan yang baru dan elok.”

“Tatkala saya ketahui bahawasanya tiada ada orang yang boleh jadi utusan yang usaha pada menghimpunkan antara anak Melayu kita ini, maka cintalah saya dengan harapan bahawa diadakan pada tiap-tiap buah negeri di dalam semenanjung Tanah Melayu kita ini sekurang-kurangnya satu suratkhabar yang dipunyai oleh anak-anak negeri sendiri supaya menempati ia utusan yang bijaksana menyeru kepada bersekutu dan bersatu pada tiap-tiap pekerjaan yang mendatangkan muslihat bagi watan, bangsa dan ugama.”

“Cuba anakku tilik cerah matahari kelebihan orang yang telah dapat kemenangan kerana amalan kebajikan dan pandangan kelam orang yang telah jatuh kerana amalan yang kejahatan, maka di situlah “Pengasuh” bertimpuh (duduk) membedakkan sekalian ang hadhir dengan bedak pengharapan, mudah-mudahan subur sekalian dengan darah dan daging yang boleh mengkhidmatkan tanah air dan menunjukkan kepada Raja.”

PULANG KE PANGKUAN ILLAHI

Pada 19 November 1933 Tuan Guru yang disayangi al-Haji Awang Muhammad Yusuf al-Kenali telah pulang ke rahmatullah, meninggalkan di belakanya satu barisan ulama yang terkenal iaitu:

  • Tuan Guru Haji Yaakub Legor (al-Marhum)
  • Tuan Guru Haji Ali Salahuddin (al-Marhum)
  • Tuan Guru Haji Jalaluddin Sering (al-Marhum)
  • Tuan Guru Haji Abdullah Tahir (al-Marhum)
  • Tuan Guru Haji Yaakub bin Haji Ahmad (al-Marhum)
  • Tuan Guru Haji Saad (al-Marhum)
  • Al-Syaikh Anjun dari Asahan, Indonesia (al-Marhum)
  • Seorang murid beliau telah menjadi seorang guru terkemuka di Masjid al-Haram Makkah pada dekad 20an.

OLAHAN DARIPADA : TOKOH-TOKOH ULAMA SEMENANJUNG MELAYU (1)