Tag Archives: dato bahaman

Panglima Munas Setia dengan DARAH!


Panglima Munas bin Tok Samad

BIODATA
Nama tubuh : Munas bin Samad
Ayah : Tok Samad (asal Kampung Saring)
Ibu : Wan Mah (asal dari keturunan Jembal)
Adik : Adam dan Minah

Setelah diangkat jadi Panglima
Isteri : Che Mah anak kepada Lebai Ali
Anak : Mat Tahir dan Mat Hassan

KISAH HIDUP

Seorang yang mahir bersilat semenjak kecil lagi dan membesar seperti orang kebanyakkan yang lain. Beliau belajar silat dari Panglima Puteh, sebelum itu, ayah beliau, Tok Samad juga adalah seorang guru silat, namun menyerahkan gelanggang tersebut kepada Panglima Puteh kerana keuzuran.

Beliau tinggal di Kampung Saring dalam daerah Jeram. Ketika itu, Jeram dibawah pemerintahan Tengku Seri Maharaja Jeram, Long Seri iaitu seorang keturunan Raja Jembal.

Beliau juga seorang guru al-Quran kepada anak kampung saring selain dari mahir bersilat.

Panglima Puteh amat menyayangi beliau kerana ketangkasan dan kepintaran dalam menuntut ilmu. Sudah tentu ada yang iri hati.

JADI PANGLIMA

Ekoran panglima Jeram yang ada telah uzur dan kurang tangkas, serta mereka ini telah lamabberkhidmat iaitu semenjak zaman Long Gaffar lagi. Baginda Long Seri telah menganjurkan satu pertandingan untuk memilih seorang Panglima dari rakyat biasa yang muda dan perkasa. Pembelotan dari menantunya; Long Senik Mulut Merah juga telah menyebabkan beliau menguatkan lagi benteng pertahanan Jeram. Pemilihan Panglima adalah salah satu strateginya.

Dalam pertandingan ini, Nik Awang yang sudah lama berdendam dengan Munas, telah menjadi seteru pada peringkat akhir. Sebenarnya mereka berdua ini rakan seguru dan membesar bersama di kampung saring. Nik Awang adalah anak pada Penghulu Kampung Saring manakala Munas adalah orang biasa tetapi Munas amat disenangi oleh orang kampung dan guru mereka. Ini membuatkan Nik Awang iri hati.

Ketangkasan dan kelincahan Munas ditambah dengan latihan dari Tok Samad, membolehkan beliau menewaskan Nik Awang dan ini menyemarakan kemarahan Nik Awang.

Pertandingan ini diadakan di Istana Maharaja Jeram dengan disaksikan sendiri oleh Long Seri. Kejayaan Munas membolehkan beliau ditabal sebagai Panglima Munas.

Tugasan pertama Panglima Munas ialah mengamankan kampung di Daerah Jeram yang diancam pencuri. Beliau berjaya menyelesaikan tugasan tersebut dengan matinya Nik Awang.

Tok Samad dan Wan Mah telah menjodohkan Panglima Munas dengan Che Mah anak kepada Lebai Ali. Tidak lama kemudian, pasangan ini telah menimang cahaya mata sulung yang dinamakan Mat Tahir.

MISI LONG SERI

Long Senik Mulut Merah telah mencuri Alat Kebesaran Kota Limbat beserta Keris yang bernama Pelangi Merbo yang berasal dari Jawa untuk naik takhta.

Baginda Long Seri dengan nasihat para pembesar telah menghantar angkatan perang untuk merampas kembali alat kebesaran tersebut. Angkatan ini diketuai oleh Long Mansor dengan dibantu oleh Panglima Munas.

Long Senik Mulut Merah telah mendapat tahu pengkhabaran ini telah menghantar satu angkatan tentera untuk menyekat kemaraan angkatan tentera Long Seri. Berlaku pertempuran dan Long Senik Mulut Merah berjaya mengundurkan pasukan Long Seri kembali ke Jeram.

Kemenangan ini membolehkan Long Senik Mulut Merah naik takhta dengan gelaran Sultan Muhammad 2 pada tahun 1835. Kecewa dengan kegagalan misi tersebut, Long Seri telah meninggal dunia beberapa tahun kemudian.

PANGLIMA MUNAS, PAHLAWAN LONG MANSOR

Long Mansor, anak sulung Long Seri telah ditabalkan sebagai pengganti dan pusat pemerintahan beliau adalah di Machang.

Setelah ditabalkan, Sultan Muhammad menguasai tanah jajahan Long Seri iaitu dari daerah Limbat hingga ke Jeram.

Sebab itu, Long Mansur mengalih pusat pemerintahan beliau ke Machang yang termasuk dalam daerah Hulu Kelantan. Kawasan ini bukan dibawah kekuasaan Sultan Muhammad 2. Ketika itu, kawasan hulu Kelantan merangkumi Machang hingga ke Gua Musang dan diketuai oleh seorang Penghulu yang melaporkan secara terus Kebawah Duli Sultan Empayar Patani Besar.

Dulu, walaupun Kelantan mempunyai Sultan sendiri ianya adalah dibawah takluk Patani.

Panglima Munas tetap setia kepada pewaris Long Gaffar dan beliau terus berkhidmat dibawah pemerintahan Long Mansor walaupun tidak lagi berfungsi seperti era Long Seri. Ketika ini, beliau berulang alik antara Kampung Saring dengan Machang.

Tidak lama kemudian, Mat Hassan dilahirkan namun malang, isterinya Che Mah telah meninggal dunia ketika melahirkan Mat Tahir. Long Mansor telah menawarkan agar Panglima Munas tinggal di Istana yang bertempat di Machang bagi memudahkan beliau.

Semenjak itu, Mat Tahir dan Mat Hassan membesar di Istana. Long Mansor amat menyayangi kedua-dua anak Panglima Munas dan menganggap mereka sebagai anak sendiri, mereka juga bersahabat dengan Tengku Salleh, anakanda Long Mansur.

Panglima Munas telah melatih mereka dalam ilmu persilatan dan juga menghantar mereka ke Jeram bagi mendalami ilmu agama dari guru-guru agama yang terdapat sekitar Jeram.

Ketiga-tiga mereka membesar sebagai pemuda yang tangkas dan lincah serta pintar. Mat Hassan dan Tengku Salleh amat tertarik dengan ilmu agama dan mereka bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke Kota Mekah. Hanya Mat Hassan ketika itu berusia 30 tahun berangkat ke Kota Mekah pada 1890. Tengku Salleh tidak dapat turut serta kerana beliau akan ditabalkan sebagai Tengku Mahkota.

DATO’ BAHAMAN DAN LONG MANSOR

Setahun setelah Mat Hassan berada di Kota Mekah, Dato’ Bahaman dan pengikutnya Tok Gajah serta Mat Kilau telah memberontak pada 8 Oktober 1891. Perjuangan mereka ini telah menemui kegagalan kerana mereka tidak mahu berperang dengan Sultan Ahmad, Pahang.

Mereka berjuang bukan kerana cukai tetapi kerana Inggeris telah mencampuri urusan agama dan menjajah Pahang. Sultan Ahmad pula telah menuduh mereka sebagai penderhaka ekoran hasutan dari Penasihat British.

Tidak mahu berperang dengan Sultan, Dato’ Bahaman dan Keluarga, Tok Gajah dan Mat Kilau serta 12 orang pengikut telah menemui pasukan memburu Long Mansor di Ulu Sat, hulu Kelantan dan mereka diberi perlindungan oleh Long Mansor.

Baginda Sultan Mansur ketika itu baru menaiki takhta pada 1891 menggantikan Sultan Muhammad 3 yang hanya sempat memerintah selama setahun. Baginda mengetahui tentang hal Dato Bahaman yang menjadi buruan British dan telah menemui Long Mansor di Machang. Baginda meminta Long Mansur melindungi Dato’ Bahaman dan pengikutnya kerana menurut Baginda, Dato Bahaman adalah kenalan keluarga baginda. Perkara ini disaksikan oleh Panglima Munas.

Dato Bahaman telah membina penempatannya di Sungai Ampul, iaitu cawangan sungai lebir, ulu Kelantan. 2 tahun mereka aman dan akhirnya ada talibarut British telah membocorkan rahsia.

Sebenarnya ini adalah helah dari Sultan Mansor untuk mengelak dirinya dituduh melindungi Dato Bahaman oleh British yang ketika itu menjadi buruan mereka.

1893, British dapat mengesan kedudukan Dato Bahaman yang bersembunyi di Kelantan. Mereka telah menghantar wakil menemui Sultan Mansor untuk mendapatkan kebenaran menangkap Dato Bahaman. Baginda menyatakan bahawa kawasan itu adalah kawasan pentadbiran Siam di Bangkok dan meminta wakil British itu ke Bangkok.

Di Bangkok, wakil British telah menemui Raja Siam dan mereka telah mendapat kebenaran untuk menangkap Dato Bahaman. Raja Siam juga bertitah, andai Dato Bahaman tidak dapat ditangkap, maka tangkaplah orang yang melindungi atau sesiapa yang disyaki melindungi penderhaka itu.

Wakil Inggeris bersama askar Siam menuju ke Machang. Berita ini telah disampaikan kepada Long Mansur oleh Panglima Munas. Baginda telah merujuk kepada Tengku Chik Tua Machang tentang perkara tersebut. Tengku Chik telah meminta Long Mansor supaya tidak melawan Siam kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Sementelahan, Tengku Salleh ada di Kota Bharu dan melawan Siam boleh mengancam nyawa Tengku Salleh.

Baginda meminta Panglima Munas memanggil Dato Bahamam datang menghadap. Long Mansur telah meminta Dato Bahaman supaya berundur dari Machang. Ketika bersiap untuk berundur, Dato Bahaman telah dikepung. Tingginya ilmu Dato Bahaman membolehkan beliau dan pengikut melepaskan diri walaupun dikepung dari kiri dan kanan, depan dan belakang.

Siam tidak berpuashati, dan mereka telah menangkap Long Mansor, Tengku Ahmad, Pak Nik Ya penghantar bunga emas, Dato Lela Perkasa Lundang dan Tuan Tabal. Mereka telah dibawa ke Bangkok sebagai ganti kepada Dato Bahaman.

Panglima Munas kecewa dengan pekara ini dan menuduh Sultan yang bertanggungjawab tentang hal penangkapan Long Mansur kerana Sultan yang meminta Long Mansur memberi perlindungan kepada Dato Bahaman.

HILANGNYA SEORANG WIRA

Setelah Long Mansur ditangkap Siam, Long Demor telah ditabal sebagai Tengku Seri Maharaja Jeram dengan pusat pemerintahannya di Jeram, Pasir Puteh. Panglima Munas terus berkhidmat dengan Istana.

1896, iaitu setelah 3 tahun ditahan beberapa orang telah dibebaskan oleh Siam. Tengku Ahmad selamat tiba di Kota Bharu, namun amat malang kerana Long Gaffar telah mati dibunuh Siam ketika dalam tahanan. Mayat baginda ditanam dalam selut dan hal ini disampaikan oleh Tok Kancil iaitu pengawal peribadi Long Mansor ketika ditahan di Bangkok.

Hal ini telah membangkitkan amarah Panglima Munas dan juga pembesar jeram ketika itu ekoran kematian Long Yunus. Panglima Munas telah ke Istana dan menghadap Sultan Mansur, beliau telah menyampaikan hasrat beliau agar Kelantan menuntut bela atas Kematian Long Mansur. Sultan enggan menurut hasrat Panglima Munas.

Beliau menghadap pula Tengku Maharaja Jeram bagi mendapatkan sokongan untuk menuntut bela atas kemangkatan Long Mansur. Namun jawapannya senada dengan Baginda Sultan.

Panglima Munas yang mendapat sokongan dari penduduk Jeram serta Mat Tahir dan Tengku Salleh telah berangkat ke Istana untuk melancarkan mogok. Mogok ini telah menggusarkan Sultan Mansor kerana makin lama, makin ramai orang yang turut serta dalam mogok tersebut. Sultan telah menitahkan kepada pengawal agar menghalau orang yang mogok dan kalau berdegil, bunuh sahaja mereka.

Provokasi telah dilakukan oleh pengawal Istana dan mereka telah tertikam perut Mat Tahir dan meninggal di pangkuan Panglima Munas. Setelah itu berlakulah pertempuran. Panglima Munas akhirnya meninggal setelah terkena tikaman dari arah belakang.

Perjuangan Panglima Munas dalam menuntut bela kematian Long Mansor berjaya dipatahkan dan Tengku Salleh telah ditangkap dan dibuang negeri…….

Tamatlah riwayat Panglima Munas bapa kepada Mat Hassan atau dikenali sebagai Tok Janggut.

Episod baru kerajaan Jeram bermula pada 1910…..

SEKIAN!!!!

PENAFIAN : ARTIKEL INI ADALAH ADAPTASI DARI NOVEL YANG BERTAJUK TOK JANGGUT : PAHLAWAN KELANTAN, TULISAN ABDUL LATIP TALIB TERBITAN PTS LITERA UTAMA. ISBN : 978-983-3892-86-0 (2010).