Tag Archives: dikir barat

Penggiat Dikir Barat 4 : Cikgu Naim


Tokoh Dikir Barat : Cikgu Naim

Cikgu Naim adalah seorang tokoh dikir barat di negeri kelantan. Seawal tahun 2000 negeri kelantan diledakkan dengan klip-klip video dan audio cd dikir barat, nama beliau naik secara mendadak.

Lagu-lagu beliau mengandungi pelbagai mesej ringan dan jenaka. Bertugas sebagai seorang pendidik dan jiwa kekampungannya tidak menghalang beliau menabur ilmu dan jasa melalui hiburan rakyat.

Beliau pulang ke Rahmatullah pada 5/4/2007.Kehilangannya ibarat sebutir permata yang sukar untuk dicari ganti. Kehebatannya dalam seni dikir barat akan terus menjadi sebutan sampai bila-bila.

Penggiat Dikir Barat 2 : Seman Mamat


Tokoh Dikir Barat : Seman Mamat

Seman Mamat lebih dikenali Seman Wau Bulan berasal daripada Kampung Belukar Beta Hulu merupakan seorang tokoh dikir barat dan menjadi ikon kepada pendikir-pendikir di negeri Cik Siti WanKembang, negeri Kelantan. Beliau memulakan karier sebagai pendikir setelah terlibat bersama rakan-rakan dalam kumpulan “Puak Kampung Kubang Tin” di peringat pada tahun 1958. Beliau

berguru dengan Pak Leh Tapang dan Hussin Belimbing. Gelaran tersendiri iaitu Wau Bulan di ambil berdasarkan kaitan dan asal-usul Hikayat Dewa Muda. Gelaran inilah yang membawa beliau ke puncak karier beliau sebagai pendikir.

Lagu Wau Bulan yang sentiasa dibawanya di akhir setiap persembahan adalah sebagai tanda memohon maaf kepada orang ramai sekiranya terdapat kata-kata yang menyinggung perasaan. Beliau meninggal dunia pada usia 65 tahun.

Penggiat Dikir Barat 1 : Daud Bukit Abal


Tokoh Dikir Barat : Daud Bukit Abal

Tokoh Dikir Barat dan penggiat seni yang tersohor di kelantan, Mat Daud Cik Mat, 71, yang lebih dikenali Daud Bukit Abal.

Diceritakan serba ringkas tentang beliau – Mula bergiat dalam kesenian dikir barat sebagai Tok Juara pada 1961, ketika berusia 21 tahun. Bermula dengan hanya suka-suka bersama kawan-kawan yang akhirnya menjadi pengiat seni yang popular dan kini dikenali ramai di dalam dan luar negeri. Tokoh besar dalam kesenian dikir barat ini mempunyai ramai anak murid yang mengikuti jejak beliau untuk mengangkat kesenian dikir barat ke peringkat lebih tinggi.

Beliau pernah terpilih menerima anugerah Tokoh Dikir Barat 2006 dari Kerajaan Negeri Kelantan. Beliau yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan meninggalkan sembilan orang anak dari dua isteri dan 14 cucu. Sepanjang hidup beliau menyara kehidupan keluarga dengan dikir barat.

TOKOH SENI : PENGASAS DIKIR BARAT


Mat Salleh bin Haji Ahmad, Pengasas Dikir Barat

Mat Salleh Bin Haji Ahmad atau dikenali Pak Leh Tapang dilahirkan di kampung Tapang, Panji Kota Bharu, Kelantan (1927). Beliau adalah pengasas dan pendikir barat terulung di negeri kelantan.

Beliau orang pertama mengubah corak dikir sedia ada iaitu dikir laba kepada corak baru dengan mempertahankan pantun. Istilah tukang karut juga adalah idea beliau. Memulakan karier di bangsal kecil di kampung-kampung sehingga ke peringkat istana.

Pada masa itu, dikir barat hanyalah satu hiburan untuk orang-orang kampung, petani dan nelayan. Beliau menggunakan media dikir barat sebagai satu bentuk pendidikan, nasihat dan dakwah selain berhibur melalui kata-kata dan pantun yang keluar secara spontan.

Kariernya sampai kemuncak apabila tertubuhnya Dendang Rakyat anjuran RTM di mana beliau terlibat sebagai pengasas dan mempopularkan dikir barat sehingga mendapat liputan di media elektronik.

Atas jasa dan ketokohannya beliau dianugerah Surat Kepujian tahun 1988 dan Pingat Setia (PS) 1994 oleh Sultan kelantan. Beliau pulang kerahmatullah pada 17 Mac 2006 ketika berusia 79 tahun.

DIKIR BARAT


Pasukan Dikir Barat Kelab Seni Budaya PPUKM

DIKIR BARAT
Dikir Barat adalah suatu permainan tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan. Ianya wujud di kalangan masyarakat biasa di kampung kampung dan pinggir bandar. Di dalam persembahan Dikir Barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang karut dan Tok Juara. Mereka akan mengarut sambil berbalas – balas pantun dan diikuti oleh awak awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.

Dikir barat ini boleh dipersembahkan sebagai hiburan atau pun dipertandingkan. Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat di musim menuai padi dan juga di majlis perkahwinan. Pertandingan selalunya diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan ataupun orang-orang tertentu untuk mengutip wang.

Perkataan Dikir ialah hasil dari dua kombinasi seni iaitu Dikir dan pantun atau dikir dan karut. Pengertian “Karut” itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi Dikir Barat, Dikir Karut, Dikir pantun dan Dikir Syair adalah sama ertinya. Walaubagaimanapun di Kelantan ianya lebih terkenal dengan Dikir Barat dan di Selatan Thai dengan Dikir Karut.

ASAL USUL DIKIR BARAT

Beberapa pendapat telah diperkatakan tentang asal-usul Dikir Barat. Ada yang mengatakan ianya berasal dari Selatan Siam. Sebenarnya Dikir Barat ini yang lebih terkenal dengan nama Dikir Karut dibawa dari Negeri Siam ke Negeri Kelantan. Mengikut orang-orang Kelantan, perkataan Barat ini bermakna Selatan Siam. Ini tidak dapat dinafikan kerana padaa suatu ketika dahulu Negeri Kelantan ini pernah diperintah oleh Kerajaan Siam. Rakyat daripada kedua dua buah negeri ini selalu berulang-alik dan dengan secara langsung Dikir ini dibawa ke sini dan diterima pula oleh masyarakat. Ketika ianya dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk Dikir dan di sana juga ianya ditambah dengan pantun-pantun dan diubahsuai dari segi persembahan dan loghatnya sesuai dengan keadaan sekeliling dan suasana tempatan.

Bila memperkatakan Dikir Barat, nama Pak Leh Tapang tidak boleh dilupakan. Ramai orang mengenali beliau kerana Dikir Barat. Pak Leh Tapang atau nama sebenarnya Haji Mat Salleh bin Hj. Ahmad berasal dari Kampung Tapang, Kota Bharu. Beliau telah mengakui sendiri yang Dikir Barat ini sebenarnya berasal dari Selatan Siam. Beliau telah mengubahkan permainan ini dengan menambahkan pantun-pantun di dalamnya. Jadi sebelum itu, ketika Dikir Barat dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk Dikir tanpa pantun. Semasa pemerintahan Jepun, beliau pernah dipanggil untuk meriwayatkan sesuatu dengan cara berpantun. Masa itu juga ada satu kumpulan berdikir yang diketuai oleh Jaffar Wakaf Mek Zainab yang memperkenalkan Dikir Barat di kampungnya. Awak-awaknya terdiri daripada orang-orang Melayu Barat (Selatan Siam). Mereka melagukan lagu-lagu yang dibawa dari Selatan Siam dan Pak Leh Tapang pula yang mengubah dan menambahkan dengan pantun-pantun untuk menyedapkan lagi dikir barat.

LATAR BELAKANG KUMPULAN DIKIR

  • Di dalam satu-satu pasukan Dikir Barat terdiri daripada seorang Tukang karut , seorang juara dan beberapa orang awak-awak (Selalunya antara 15 ke 30 orang).
  • Tukang Karut merupakan orang yang paling penting dalam satu-satunya pasukan dikir barat. Tugas Tukang Karut yang paling penting sekali ialah berpantun dan bersyair. Pantun-pantun dan syair itu didendangkan dengan cara spontan mengikut seleranya. Maka idea-idea, isi-isi puisi itu, bahasa dan persoalan yang dikemukakan tanpa berfikir dua kali.
  • Jogho, (Juara) merupakan orang kedua penting dalam satu pasukan Dikir Barat. Tugasnya ialah berdikir sebelum Tukang karut mengarut. Hanya kadangkala, juara juga terpaksa mengarut iaitu di waktu Tukang Karut belum tiba (biasanya di awal permainan) , tapi masanya tidaklah lama, Juara berdikir sambil duduk di sepanjang permainan, tetapi Tukang Karut mendendangkan karutnya sambil berdiri.
  • Awak-awak ialah kumpulan orang berdikir dalam satu-satu permainan Dikir Barat. Kebiasaannya awak-awak ini terdiri daripada muda mudi belasan tahun. Pada praktiknya orang dewasalah yang lebih ramai menjadi awak-awak.

Gelaran awak-awak ini mengambil sempena dari nama kumpulan nelayan yang turun ke laut dalam sebuah perahu di bawah jagaan seorang ketua yang dipanggil “Jeragan” jadi keadaan ini disesuaikan dengan pelakon awak-awak dalam permainan Dikir Barat yang di bawah jagaan ketua mereka, Juara.

LAGU DIKIR BARAT

Di antara lagu-lagu Dikir Barat yang terkenal ialah:

  1. Karut Kelantan Cepat.
  2.  Karut Kelantan Anjur (Perlahan)
  3. Karut Petani
  4. Karut Wok Yoh
  5. Karut Pendek
  6. Karut Yengki Cepat
  7. Karut Yengki Anjur
  8. Karut Yengki Tengahan (Sederhana)
  9. Karut Yengki Ding Ding
  10. Karut Hala
  11. Karut Selampit
  12. Karut Menora
  13. Karut Jenaka Mak Yong
  14.  Karut Wau Bulan

Ada tiga jenis irama Dikir :-

  1. Irama Asli
  2. Irama Padang Pasir.
  3. Irama Hindustan.