Ronda KPSK : Kampung Saring dan Kampung Jeram
KPSK, 5/10/2012, Jumaat : Kali ini kami menyelusuri sepanjang jalan dari Bulatan bypass Pasir Puteh dari Kampung Saring hingga ke simpang tiga Telosan – Jalan Jertih + Machang. Sebelum tu kami juga pusing kearah jalan Cherang Tuli – Padang Amat hingga ke simpang tiga jalan Kota Bharu – Pasir Puteh.
Tujuan kami melakukan rondaan ini adalah untuk mencari kawasan sebuah kota pemerintahan Tengku Seri Maharaja Jeram yang terletak di Kampung Jeram, Pasir Puteh. Kampung Saring pula adalah kampung kelahiran Tok Janggut.
Tengku Seri Maharaja adalah keturunan dari Long Gaffar (akan kami kupaskan dalam entri selepas ini), kisah baginda juga menarik kerana ada persengketaan baginda dengan keturunan Long Yunus. Tok Janggut pula telah merubah paradigma Kampung Saring dan Pasir Puteh sendiri dari sudut sejarah yang seperti kita sedia maklum.
Rondaan kami bermula pada jam 9:00 pagi.
Kampung Saring terletak tidak jauh dari bypass ini. Ianya adalah sebuah perkampungan yang dikelilingi oleh sawah padi serta dikelilingi bukit-bukau dari arah utara, selatan, dan barat dan sebelah timurnya adalah laut.
Kampung ini amat signifikan semasa era Tok Janggut, kerana disini terdapat kubu yang dikenali sebagai Batas Besar Kubu Tok Janggut yang dibina dengan timbunan tanah. Bagaimanapun kubu ini telah tiada ekoran dijadikan penempatan kampung penduduk kampung dan juga telah bertukar kepada tanah pertanian. Cuma kami boleh andaikan kubu tersebut merentangi sempadan kampung saring dengan pekan Pasir Puteh.
Kami sebolehnya mahu mencari tapak rumah Tok Janggut, yang sebelum ini telah dibakar oleh British…. namun cubaan ini gagal memandangkan kejadian ini berlaku 97 tahun yang lalu.
Kami meneruskan perjalanan menuju ke Kampung Jeram.
Sama seperti Kampung Saring, ianya juga sebuah perkampungan yang penduduknya rata-rata petani yang mengerjakan sawah padi atau kebun getah serta buah-buahan. Kami juga cuba mencari dimana lokasi Istana Tengku Maharaja Jeram, namun tidak berjumpa.
Ada fans di Fan Page KPSK menyarankan agar kami ke Kampung Dalam Pupoh kerana disana ramai yang mengetahui sejarah ini dengan lengkap. Di lain masa nanti kami akan mengunjungi Kampung Dalam Pupoh ini untuk mendapatkan maklumat yang jelas mengenai hal ini.

Di kawasan “Baruh Padi” inilah berlakunya pertempuran antara Angkatan Engku Besar Jeram yang diketuai oleh Tok Janggut dengan Askar Benggali-British
Sepanjang jalan dalam kampung jeram, kami telah belok memasuki jalan yang menghubungkan Cherang Tuli dan Padang Pak Amat. Tiada apa yang menarik kami temui selain dari Sekolah Kebangsaan Jeram, Sekolah Menengah Kebangsan Padang Amat serta sebuah Institut Memandu. Selain dari itu, kawasan ini adalah kawasan ladang kelapa sawit dan kebuh buah-buahan. Dihujung jalan ini kami tiba hingga ke Kilang Padi Bernas dan kami patah semula ke arah Kampung Jeram dan kemudiannya kami meneruskan perjalanan hingga ke kampung Telosan.
Sepanjang jalan dari Kampung Jeram dan Kampung Telosan, kami telah menemui dua buah perkuburan lama yang kelihatan tiada lagi tanda-tanda kubur baru. Kawasan perkuburan ini berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Jeram.
Kami mengatakan kubur ini kubur lama kerana batu-batu nesan yang ada kelihatan kusam dan ianya tidak hanya berbentuk batuan sungai. Namun, kedua-dua kawasan ini bersih dan terjaga, cuma tiada lagi kubur baru di kawasan perkuburan itu.
Kami andaikan di perkuburan itulah dikebumikan pahlawan-pahlawan Jeram dan Saring dikebumikan setelah syahid ketika Perang Pasir Puteh yang terkenal itu.
Kami teruskan lagi perjalanan ke Telosan sambil mengambil semangat perjalanan Long Mansor yang memindahkan pusat pentadbiran Jeram ke Machang dan kami juga tidak hairan kenapa kawasan ini dahulu banyak gajah dan haiwan liar lain.
Setelah tiba di jalan Jertih – Machang, kami telah patah semula untuk pulang ke Pasir Puteh. Dalam perjalanan balik kami telah menemui Pondok Telosan yang juga dikenali sebagai Rumah Sejahtera.
Setelah puas menjelajah, kami meneruskan perjalanan pulang.
Seputar@Machang
SEJARAH DAN LATAR BELAKANG
Jajahan Machang mendapat nama daripada sebuah kampung iaitu Kampung Machang. Ia mula dibuka pada tahun 1880 oleh sekumpulan penduduk kampung dari Pasir Tumboh di Kota Bharu yang diketuai oleh En. Senik. Pada awal pembukaan kampung ini aktiviti utama yang dijalankan oleh penduduk untuk menyara kehidupan mereka ialah pertanian dan perniagaan.
Dari segi geografinya kedudukan Jajahan Machang terletak di tengah-tengah negeri Kelantan Darul Naim. Jajahan Machang ini bersempadan dengan Kota Bharu dari sebelah utara, sebelah selatan Jajahan Kuala Krai, sebelah barat bagi Jajahan Tanah Merah manakala bagi Jajahan Pasir Puteh pula di sebelah timur.
Pada awal penubuhannya iatu sekitar tahun 1949 Jajahan Machang telah dijadikan jajahan kecil. Namun, pada 1 Januari 1952 disebabkan kepesatan dalam pembangunan dan kegiatan ekonomi di Jajahan Machang ia telah dijadikan jajahan sepenuhnya.
Jajahan Machang mempunyai keluasan 546.26 kilometer persegi. Daripada jumlah keluasan itu sebanyak 129 kilometer persegi adalah terletak di dalam Majlis Daerah Machang.
INFO RINGKAS
- Machang mempunyai lebih kurang 82,653 orang penduduk (tahun 2005)
- Terdapat 6 daerah di Machang iaitu Labok, Pulai Chondong, Panyit, Pangkal Meleret, Ulu Sat, dan Temangan. Jumlah mukim di Machang ialah 30.
- Di bahagian utara jajahan Machang terdapat jajahan Kota Bharu, di timurnya Jajahan Pasir Puteh dan bersempadan dengan Negeri Terengganu, di barat ialah Jajahan Tanah Merah manakala di selatan ialah Jajahan Kuala Krai.
- Antara tarikan sejarah di sini ialah Menara Masjid Pulai Condong. Salah satu kampus cawangan Universiti Teknologi MARA juga bertempat di Machang.
TEMPAT MENARIK DI MACHANG
- Hutan Lipur Bukit Bakar
- Air Terjun Jeram Linang
- Kolam Air Panas
- Menara Condong
- Jambatan Guillemard
- Lombong Bijih Besi Temangan
Mukim Machang
- Mukim Bagan
- Mukim Bakar
- Mukim Dewan
- Mukim Gading Galoh
- Mukim Jakar
- Mukim Joh
- Mukim Kelaweh
- Mukim Kerawang
- Mukim Kerilla
- Mukim Kuala Kerak
- Mukim Labok
- Mukim Limau Hantu
- Mukim Machang
- Mukim Padang Kemunchut
- Mukim Pek
- Mukim Pemanok
- Mukim Pulai Chondong
- Mukim Raja
- Mukim Temangan
- Mukim Tengah
- Mukim Tok Bok
- Mukim Ulu Sat
- Bandar Machang
- Pekan Temangan
Rujukan: