Tag Archives: mitos

Mitos Wau Bulan


Bulatan bulan pada Wau Bulan melambangkan negeri-negeri daratan yang dinamakan Nusarantang-kawasan yang bersambung. Bintang yang terletak di antara bulatan bulan sabit penuh dilambangkan sebagai ‘negara pusat’ atau ‘kawasan pusat pemerimtahan’ yang dinamakan ‘Nusa Kencana-Kawasan Emas dan bulan sabit penuh yang menjadi bahagian bawah wau ini dilambangkan dengan negeri-negeri kepulauan yang dinamakan Nusantara-Kawasan yang dirantai oleh laut-laut. Wau Bulan ini memiliki tiga teraju yang melambangkan tiga bahagian empayar Srivijaya dan tiga teraju ini diikat oleh satu tali, yang melambangkan Empayar Srivijaya ini diperintah oleh satu pentadbiran pusat.

Sumber : Fan Page KPSK

Gua Musang mendapat Nama


Pemandangan Gua Musang

Kejadian bermula apabila sekumpulan orang asli ini keluar berburu namun tidak mendapat hasil tangakapan. Mereka menanti seketika sehinggalah ternampak seekor ayam hutan yang berlari dengan pantas. Rupa-rupanya ayam hutan itu dikejar oleh musang dan mereka pun mengekori ayam itu. Namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila ayam tersebut hilang di dalam hutan tebal itu. Tidak lama selepas itu, mereka sekali lagi terserempak dengan seekor musang sedang mengejar ayam hutan tidak jauh dari tempat kejadian yang pertama tadi. Kali ini juga mereka tidak sempat menyumpit ayam hutan itu. Kedua-dua kejadian ini menghairankan mereka kerana sebelum ini kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku. Biasanya mereka dapat menyumpit binatang yang diburu, akan tetapi pada hari itu mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Pada hari berikutnya apabila mereka keluar berburu, kejadian yang sama juga berlaku di mana mereka ternampak musang sedang mengejar ayam hutan di tempat yang sama ditepi sebuah gua. Mereka cuba menyumpit ayam hutan itu tetapi gagal dan kejadian ini menambahkan lagi kehairanan mereka. Keesokkan harinya mereka keluar meramai-ramai untuk mengesan tempat hilangnya ayam-ayam hutan yang dikejar oleh musang sejak beberapa hari lalu. Mereka menjumpai satu lubang yang menyerupai seekor musang sedang mengejar seekor ayam.

Setelah melihat bentuk gua tersebut mereka berasa takut dan terus meninggalkan tempat itu. Mereka menamakan tempat itu Gua Musang. Sekarang gua tersebut menjadi daya tarikan pelancong kerana di dalam gua itu terdapat batu dengan pelbagai bentuk. Ada bentuk yang menyerupai ular, kepala gajah, gendang, telaga air terjun dan buah belimbing.

Sumber:

  1. Mohd Roselan Abdul Malik, (1993). Salasilah nama tempat : Negeri Kelantan Darul Naim. Petaling Jaya : Penerbit Prisma Sdn Bhd
  2. Perpustakaan Negara Malaysia

Mitos@Pasir Mas


Pada suatu masa, terdapat seorang guru agama dari Bachok, datang untuk mengajar kuliah keagamaan di Pasir Mas.

 

Guru agama itu kemudiannya pulang semula ke Bachok setelah selesai mengajar tetapi selang beberapa hari setelah kepulangan guru itu, secara tiba-tiba muncul 3 biji mangkuk emas dari dalam semak.

 

Mangkuk ini kemudiannya berpusing membentuk pusar di sekitar semak dan secara tidak langsung, penduduk yang melihat kejadian itu menjerit ‘Mas! Mas!’. Perkataan pasir terbit kerana berdekatan penempatan yang terletak di tebing sungai Kelantan, terdapat beberapa longgokkan pasir sehingga membentuk padang yang luas. Pasir Mas adalah cantuman dari perkataan Pasir dan Mas.

 

LOGIK AKAL

Dari segi logik, hal ini sukar diterima akal manusia biasa, namun orang zaman silam mudah mempercayai apa yang diperkatakan orang ramai.

Penulis adalah anak jati Pasir Mas yang kampungnya terletak ditebing sungai Kelantan. Sewaktu zaman kanak-kanak penulis memang gemar mandi sungai dan mencari “etok”.

Isi Etok

Satu keunikan kampung penulis adalah terdapat satu dataran pasir yang bermula dari Tendong hinggalah ke Pengkalan Batu@Pasir.

Ketika mencari etok pada musim kemarau, dataran pasir ini akan kelihatan berkilau-kilauan dan keemas-emasan apabila disinari cahaya matahari.

Ini berlaku bila pasir atau nama saintifiknya “kuartza” membias cahaya maka bergemerlapan lah dataran pasir ini.

Sedia untuk dijual setelah disalai.

Namun, kini dataran pasir ini makin terhakis kerana aktiviti “menyedut pasir” berlaku dengan berleluasa sekali.

Ketika kemarau, dataran pasir ini akan mendedahkan pelbagai artifak dan paling kerap ditemui adalah serpihan pinggan mangkuk porselin yang berunsurkan Negara China, Syiling lama, dan serpihan kaca.