Tag Archives: sejarah

Perang Kota Kubang Labu 2 (1762) : Fakta diseleweng?


PENAFIAN : ARTIKEL INI ADALAH ADAPTASI DARI NOVEL YANG BERTAJUK TOK JANGGUT : PAHLAWAN KELANTAN, TULISAN ABDUL LATIP TALIB TERBITAN PTS LITERA UTAMA. ISBN : 978-983-3892-86-0 (2010).

Long Pandak adalah Raja Kota Kubang Labu yang kini terletak di Wakaf Bharu, Tumpat. Beliau telah berkahwin dengan Puteri Neng Mas, anak Raja Legeh. Puteri ini juga adalah sepupu kepada Long Gaffar.

Long Gaffar adalah Putera Sulung Negeri Reman. Suatu hari, beliau telah melawat Puteri Neng Mas tanpa pengetahuan Long Pandak.

Akhirnya Long Pandak, menuduh mereka berdua bermukah (zina), pengawal menangkap mereka dan Long Pandak telah menjatuhkan hukuman bunuh kepada Puteri Neng Mas.

Mayat Puteri Neng Mas telah dibelah perutnya dan diikat dibelakang Neng Malai, seekor gajah yang dihadiahkan Raja Legeh.

Raja Reman dan Raja Legeh murka terhadap apa yang dilakukan oleh Long Pandak dan mereka menghantar bala tentera yang diketuai oleh Long Gaffar untuk menuntut bela dan berlakulah peperangan di Kota Kubang Labu.

Long Gaffar berjaya mengalahkan Long Pandak. Akhirnya Long Gaffar merajai Kelantan yang ketika itu dikenali Tanah Rendah Sekebun Bunga. Semasa pemerintahan Long Pandak Kelantan dikenali sebagai Negeri yang di Kerat Lintang. Ini kerana, Long Gaffar telah membahagikan Kelantan kepada dua. Kawasan dari Pasir Tumbuh hingga ke Padang Garung dan seterusnya hingga ke Kuala Kemasin dan sebelah baratnya hingga ke Bukit Tanjung ditadbir oleh Long Yunus dengan Kota Bharu sebagai pusat pentadbiran.

Long Gaffar pula memerintah dari Limbat hingga ke Jeram dengan Pasir Tumbuh sebagai sempadan. Long Gaffar telah jadikan Kota Limbat sebagai pusat pentadbiran beliau.

Semasa pemerintahan Long Gaffar, Kelantan telah melaksanakan hukum hudud dan ia beterusan hingga 1915.

Long Yunus yang mentadbir kawasan Kelantan Barat tidak mempunyai kuasa mutlak  dalam kes jenayah dan hukuman bunuh baginda harus merujuk kepada Long Gaffar di Kota Limbat.

Ketika ini, Kelantan adalah dibawah naungan Empayar Patani Besar.

Long Gaffar dan Long Yunus adalah bersahabat baik dan mereka bagaikan adik beradik. Faktor inilah, menyebabkan Long Yunus memperoleh kuasa untuk mentadbir Kelantan Barat.

Sistem ini berterusan hingga Long Yunus mangkat. Setelah itu, ianya tidak lagi diikuti oleh pewaris Long Yunus iaitu Long Senik Mulut Merah.

Adaptasi dari Novel : Tok Janggut Pahlawan Kelantan dikukuhkan dengan artikel di pautan ini : http://www.tranungkite.net/lama/c12/aar1.htm

Seterusnya ikuti kisah : Long Senik Mulut Merah dan Long Seri

Ringkas tentang Kemubu


Kampung Kemubu pada asalnya merupakan sebuah kawasan hutan dan dibuka pada sekitar tahun 1940-an oleh para peneroka dari Kemubu Hilir atau lebih tepat dari Kampung Tok Lanas. Kedudukan kampung yang strategik, berdekatan dengan sebatang sungai yang dijadikan laluan utama penduduk ketika itu menjadikan kampung ini salah satu lokasi tumpuan ramai. Nama kampung diambil bersempena dengan nama Sungai Kemubu yang terletak berdekatan dengan kawasan kampung. Sejak ia dibuka, kampung ini diawasi pasukan pengawal atau Home Guard dan dipagari kawad besi bagi mencegah pencerobohan komunis ke dalam kawasan kampung.

Apabila penaklukan komunis di Tanah Melayu berakhir, kerajaan Tanah Melayu telah memberikan tanah secara percuma kepada para peneroka awal kampung ini. Lokasi asal Perpustakaan Desa Kemubu ini dibina di atas tapak balai polis lama. Perpustakaan desa ini juga dibina setelah lokasi balai polis dipindahkan ke Kampung Mahligai yang terletak tidak jauh dari kampung.

Sejarah Kampung Mujur, Jelawat, Bachok


Mujur, juga dieja sebagai Mujor, ialah salah satu kampung di dalam jajahan Bachok, Kelantan. Pekan yang terdekat dengan Kampung Mujor ialah Pekan Jelawat dan Kampung Rusa. Mengikut cerita yang tak dapat dipastikan kesahihannya, pada zaman dahulu pemburu telah datang ke sebuah tempat untuk memburu binatang. Sebelum memburu, mereka telah berselawat di sebuah kawasan yang kemudiannya dikenali sebagai Kampung Jelawat, sempena nama tempat berselawat. Mereka kemudiannya berjumpa rusa di kawasan yang sekarang dikenali sebagai Kampung Rusa. Mereka telah mengejar rusa tersebut dan dapat menangkapnya di suatu kawasan sebelum hari gelap. Mereka bersyukur dan mengatakan, “Mujur dapat tangkap rusa sebelum malam”. Kawasan itu sekarang dikenali sebagai Mujor.

Kota Bukit Panchor


Kota Bukit Pancur adalah bekas tapak sebuah istana. Letaknya adalah di Kampung Pancur, dalam mukim Gunung, jajahan Bachok tidak jauh dari pekan Gunung sekarang. Kota ini mendapat nama disebabkan kedudukannya di sebuah tanah lapang di teluk sebuah bukit. Dulunya bukit ini dipanggil Bukit atau Gunung Pancur tetapi sekarang terkenal dengan nama Bukit Gunung

Kota ini mengalami beberapa pembaikan dan perubahan sejak ia dibina. Pada awal 1960-an, istana itu dirobohkan dan yang dapat dilihat sekarang adalah empat buah perigi yang masih digunakan, tapak-tapak konkrit, pintu gerbang kota dan kesan sebuah kolam. Tempat ini dahulunya dikatakan sebagai tempat bersemayam seorang putera raja yang cuba beberapa kali untuk merebut takhta kerajaan Kelantan. Kota Bukit Pancur juga dikatakan telah dibina oleh Long Yusof, seorang putera Long Yunus yang memerintah Kelantan dalam tahun 1762 sehingga 1784.

Besut dalam Kelantan


Bukti bertulis yang paling awal menyentuh mengenai daerah ini cuma sedikit, catatan MUNSYI ABDULLAH dalam PELAYARAN ABDULLAH KE KELANTAN dan dari buku TUFFATUL NAFIS karangan Raja Ali Haji.

Oleh kerana tidak terdapat bukti-bukti bertulis mengenai sejarah awal Daerah Besut, maka terdapat berbagai-bagai cerita yang menerangkan asal usul BESUT.

Salah satu cerita mengenai asal nama Besut kononnya berpunca dari zaman dahulu dimana dikatakan daerah ini merupakan salah sebuah kawasan dibawah kuasa Kerajaan Siam . Mengikut salah satu cerita nama Besut timbul dari perkataan BE yang dalam bahasa Siam bermakna DAERAH manakala SUT menggambarkan satu tempat atau kawasan yang paling jauh atau penghujung. Ini mungkin betul berdasarkan faktor betapa jauhnya Bangkok yang merupakan Pusat Pentadbiran Siam dengan daerah ini.

Satu cerita mengenai asal usul nama Besut ialah berdasarkan cerita kononnya kawasan ini dahulunya diperintah oleh seorang raja yang digelar RAJA SANG NYANYA. Beliau adalah ketua lanun yang sangat zalim dan ini menyebabkan tidak ramai orang yang tinggal di kawasan ini. Selepas kematiannya barulah kawasan ini didiami orang dan salah satu kumpulan penduduk terdiri dari orang PANGAN. Kumpulan mereka diketuai oleh seorang yang bernama BESUT jadi dipercayai nama BESUT adalah berasal dari nama ketua orang pangan tersebut.

Kesemua cerita yang mengaitkan asal usul nama daerah ini memang tidak dapat dibuktikan kerana tidak ada bukti yang bertulis. Bukti yang paling awal menyentuh mengenai daerah ini cuma sedikit sebagaimana catatan MUNSYI ABDULLAH dalam PELAYAN ABDULLAH KE KELANTAN dari buku TUHFATUL NAFIS karangan Raja Ali Haji.

Dalam catatan ini ada diceritakan mengenai sekumpulan pedagang dari PATTANI ( Selatan Siam ) telah datang ke BESUT dengan diketuai oleh seorang yang bernama CIK LATIF. Adalah dipercayai Cik Latif berasal dari SUMATERA dan telah biasa berdagang di PATTANI. Dengan menawarkan SEGANTANG MATA KAIL dikatakan Cik Latif berjaya memujuk orang-orang Pangan keluar dari daerah ini ke Hulu Besut. Beliau dan orang-orangnya telah berjaya membina sebuah perkampongan ditebing SUNGAI BESUT yang diberi nama PALEMBANG mungkin mengambil nama sempena nama tempat asal beliau di Sumatera. Palembang merupakan PUSAT PENTADBIRAN yang pertama di BESUT sebelum KG. RAJA.

Bila Cik Latif meninggal dunia, beliau diganti oleh anaknya bernama CIK KAMAT. Semasa pemerintahan Cik Kamat Daerah Besut berada dalama keadaan huru-hara kerana ancaman dari perompak lanun yang bermaharajalela di pulau-pulau yang berada disekitar laut daerah ini. Dalam buku pelayaran PELAYARAN ABDULLAH KE KELANTAN, Abdullah Munsyi ada menceritakan kegiatan lanun-lanun di kawasan ini. Dikatakan lanun-lanun ini diketuai oleh PANGLIMA EBEH dan PANGLIMA GARANG.

Untuk menghadapi ancaman lanun-lanun ini, CIK KAMAT tidak berdaya untuk menentangnya dan beliau telah membuat keputusan meminta bantuan dari TERENGGANU. Permohonan beliau dipersetujui oleh Sultan Terengganu masa itu iaitu SULTAN MANSUR 1, yang dikenali sebagai MARHUM BERJANGGUT. Beliau memerintah Terengganu dari 1726-1793. Sultan Mansur 1 telah menghantar angkatan tentera yang diketuai oleh Putera Baginda iaitu Tengku Kadir.

Tengku Kadir dan tentera dibawah pimpinannya berjaya mengalahkan lanun-lanun tersebut dan memaksa lanun-lanun tersebut berundur ke PULAU PERHENTIAN. Sebagai penghargaan diatas kejayaan beliau mengalahkan lanun-lanun berkenaan, Tengku Kadir telah diberi kuasa oleh Sultan Terengganu untuk memerintah Besut. Cik Kamat pula dilantik sebagai ORANG BESAR BESUT serta mendapat hak di atas Pulau Rhu.