Tag Archives: tok janggut

Ronda KPSK : Kampung Saring dan Kampung Jeram


KPSK, 5/10/2012, Jumaat : Kali ini kami menyelusuri sepanjang jalan dari Bulatan bypass Pasir Puteh dari Kampung Saring hingga ke simpang tiga Telosan – Jalan Jertih + Machang. Sebelum tu kami juga pusing kearah jalan Cherang Tuli – Padang Amat hingga ke simpang tiga jalan Kota Bharu – Pasir Puteh.

Tujuan kami melakukan rondaan ini adalah untuk mencari kawasan sebuah kota pemerintahan Tengku Seri Maharaja Jeram yang terletak di Kampung Jeram, Pasir Puteh. Kampung Saring pula adalah kampung kelahiran Tok Janggut.

Tengku Seri Maharaja adalah keturunan dari Long Gaffar (akan kami kupaskan dalam entri selepas ini), kisah baginda juga menarik kerana ada persengketaan baginda dengan keturunan Long Yunus. Tok Janggut pula telah merubah paradigma Kampung Saring dan Pasir Puteh sendiri dari sudut sejarah yang seperti kita sedia maklum.

Rondaan kami bermula pada jam 9:00 pagi.

Kampung Saring terletak tidak jauh dari bypass ini. Ianya adalah sebuah perkampungan yang dikelilingi oleh sawah padi serta dikelilingi bukit-bukau dari arah utara, selatan, dan barat dan sebelah timurnya adalah laut.

Papan tanda yang menandakan anda sekarang berada di Kampung Saring.

Kampung ini amat signifikan semasa era Tok Janggut, kerana disini terdapat kubu yang dikenali sebagai Batas Besar Kubu Tok Janggut yang dibina dengan timbunan tanah. Bagaimanapun kubu ini telah tiada ekoran dijadikan penempatan kampung penduduk kampung dan juga telah bertukar kepada tanah pertanian. Cuma kami boleh andaikan kubu tersebut merentangi sempadan kampung saring dengan pekan Pasir Puteh.

Kami sebolehnya mahu mencari tapak rumah Tok Janggut, yang sebelum ini telah dibakar oleh British…. namun cubaan ini gagal memandangkan kejadian ini berlaku 97 tahun yang lalu.

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Kampung Jeram.

Kampung Jeram yang selang sebuah kampung dari Kampung Saring

Sama seperti Kampung Saring, ianya juga sebuah perkampungan yang penduduknya rata-rata petani yang mengerjakan sawah padi atau kebun getah serta buah-buahan. Kami juga cuba mencari dimana lokasi Istana Tengku Maharaja Jeram, namun tidak berjumpa.

Pemandangan di Kampung Jeram

Ada fans di Fan Page KPSK menyarankan agar kami ke Kampung Dalam Pupoh kerana disana ramai yang mengetahui sejarah ini dengan lengkap. Di lain masa nanti kami akan mengunjungi Kampung Dalam Pupoh ini untuk mendapatkan maklumat yang jelas mengenai hal ini.

Masih lagi di Kampung Jeram

Di kawasan “Baruh Padi” inilah berlakunya pertempuran antara Angkatan Engku Besar Jeram yang diketuai oleh Tok Janggut dengan Askar Benggali-British

Sepanjang jalan dalam kampung jeram, kami telah belok memasuki jalan yang menghubungkan Cherang Tuli dan Padang Pak Amat. Tiada apa yang menarik kami temui selain dari Sekolah Kebangsaan Jeram, Sekolah Menengah Kebangsan Padang Amat serta sebuah Institut Memandu. Selain dari itu, kawasan ini adalah kawasan ladang kelapa sawit dan kebuh buah-buahan. Dihujung jalan ini kami tiba hingga ke Kilang Padi Bernas dan kami patah semula ke arah Kampung Jeram dan kemudiannya kami meneruskan perjalanan hingga ke kampung Telosan.

Jalan ke Telosan dari Kampung Jeram

Sepanjang jalan dari Kampung Jeram dan Kampung Telosan, kami telah menemui dua buah perkuburan lama yang kelihatan tiada lagi tanda-tanda kubur baru. Kawasan perkuburan ini berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Jeram.
Kami mengatakan kubur ini kubur lama kerana batu-batu nesan yang ada kelihatan kusam dan ianya tidak hanya berbentuk batuan sungai. Namun, kedua-dua kawasan ini bersih dan terjaga, cuma tiada lagi kubur baru di kawasan perkuburan itu.

Kami andaikan di perkuburan itulah dikebumikan pahlawan-pahlawan Jeram dan Saring dikebumikan setelah syahid ketika Perang Pasir Puteh yang terkenal itu.

Kami teruskan lagi perjalanan ke Telosan sambil mengambil semangat perjalanan Long Mansor yang memindahkan pusat pentadbiran Jeram ke Machang dan kami juga tidak hairan kenapa kawasan ini dahulu banyak gajah dan haiwan liar lain.

Setelah tiba di jalan Jertih – Machang, kami telah patah semula untuk pulang ke Pasir Puteh. Dalam perjalanan balik kami telah menemui Pondok Telosan yang juga dikenali sebagai Rumah Sejahtera.

Papan Peringatan yang menerangkan mengenai Pondok Telosan dan fungsinya.

Setelah puas menjelajah, kami meneruskan perjalanan pulang.

Seputar@Pasir Puteh


SEJARAH

Pada asalnya Pasir Puteh dikenali sebagai Pengkalan Limbungan, nama ini ditukar selepas lawatan Sultan Muhammad ke-4 ke kawasan ini selepas Baginda melihat kawasan ini bergemerlapan dengan pasir yang memutih disepanjang tebing sungai semerak. Pada tahun 1911, Baginda Sultan telah merasmikan nama Pasir Puteh ini. Di daerah inilah lahirnya pahlawan Kelantan, Tok Janggut.

 

LATAR BELAKANG

Jajahan Pasir Puteh wujud sejak tahun 1905 dengan keluasan 433.8 kilometer persegi (167.2 batu persegi). Jajahan ini merupakan jajahan yang kelima luasnya berbanding dengan jajahan-jajahan lain di dalam negeri Kelantan. Ianya bersempadan dengan jajahan Kota Bharu di sebelah Utara, jajahan Machang di sebelah Barat, jajahan Bachok di sebelah Timur Laut dan di sebelah Selatan bersempadan dengan Daerah Besut, negeri Terengganu.

Topografi jajahan Pasir Puteh boleh dibahagikan kepada dua keadaan yang besar iaitu keadaan tanah yang berbukit-bukit dan tanah rendah. Terdapat beberapa buah bukit dijajahan ini iaitu Bukit Mak Lipah, Bukit Jerus, Bukit Bayoh, Bukit Belakang Parang, Bukit Batu Kawi, dan Bukit Peraksi. Di antara bukit-bukit ini Bukit Mak Lipah adalah merupakan bukit yang paling tinggi iaitu 868 kaki yang terletak berhampiran dengan sempadan Daerah Bachok di sebelah Utara.

Pasir Puteh merupakan sebuah bandar yang wujud di antara dua buah sungai iaitu Sungai Rasau dan Sungai Semerak, yang mana pada masa dahulu sumber pengangkutan utama bagi penduduk ialah sungai dan kawasan lembah sungai akan muncul sebagai lokasi tumpuan penduduk  bagi memudahkan perhubungan.

TEMPAT MENARIK

 

MAKLUMAT PASAR di PASIR PUTEH

JENIS PASAR

LOKASI

HARI OPERASI

WAKTU OPERASI

Pasar Malam

1.    Pasir Puteh
2.    Selising
3.    Tok Bali
4.    Alur Pasir

Sabtu
Ahad
Khamis
Selasa

5.00pm – 10.00pm
5.00pm – 10.00pm
5.00pm – 10.00pm
5.00pm – 10.00pm

Pasar Minggu

1.    Pasir Puteh
2.    Selising
3.    Cherang Ruku

Khamis
Sabtu
Ahad

8.00am – 2.00pm
8.00am – 2.00pm
8.00am – 2.00pm

Pasar Sehari

Kedai Menanti

Selasa

8.00am – 6.00pm

 

Rujukan:

  1. Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP)
  2. Ensiklopedia Bebas, Wikipedia (Pasir Puteh)